
GEORGE TOWN, 21 April – Penyertaan kontinjen Pulau Pinang dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kini bergantung sepenuhnya kepada keputusan kerajaan negeri Selangor selaku tuan rumah berhubung status penganjuran temasya tersebut.
- Pulau Pinang hanya akan menyertai SUKMA 2026 jika kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan membuat keputusan.
- Ketua Menteri Chow Kon Yeow menegaskan keputusan muktamad terletak pada Selangor dan KBS; Pulau Pinang akan mengikuti perkembangan.
- Sultan Selangor mencadangkan pertimbangan penangguhan SUKMA 2026 berikutan konflik Asia Barat dan pembinaan semula Stadium Shah Alam.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sebarang ketetapan mengenai penganjuran temasya sukan tersebut adalah tertakluk kepada keputusan muktamad kerajaan negeri Selangor serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Selangor merupakan penganjur, justeru terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan berkaitan bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan.
“Kita tertakluk dengan keputusan negeri Selangor dan akan mengikuti perkembangan mengenainya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan supaya penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan.
Baginda menzahirkan pandangan tersebut atas faktor konflik yang melanda Asia Barat, selain mengambil kira status pembangunan semula Stadium Shah Alam yang dijangka akan disiapkan sepenuhnya tidak lama lagi.