Ebola: Uganda gantung perkhidmatan pengangkutan awam ke Congo

Foto AFP

KAMPALA, 22 Mei– Uganda menggantung semua perkhidmatan pengangkutan awam ke Republik Demokratik Congo (DRC) selama empat minggu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah sekatan merangkumi perkhidmatan feri, bas dan rentas sempadan; penerbangan ke DRC dihentikan sementara.
  • Pergerakan kenderaan kargo dan bekalan makanan dikecualikan daripada sekatan.
  • Uganda laporkan dua kes susulan warga Congo rentas sempadan; satu disahkan positif, satu lagi kematian.
  • WHO mengisytiharkan wabak Ebola Bundibugyo sebagai darurat kesihatan antarabangsa; tiada vaksin atau rawatan khusus ditemui.

Perkara itu susulan peningkatan kebimbangan terhadap penularan wabak Ebola yang kini diisytiharkan sebagai kecemasan antarabangsa.

Kementerian Kesihatan Uganda dalam satu kenyataan memaklumkan, perintah sekatan itu merangkumi perkhidmatan feri, bas dan rentas sempadan.

Manakala semua penerbangan ke DRC turut dihentikan buat sementara waktu berkuat kuasa dalam tempoh 48 jam.

Bagaimanapun, pergerakan kenderaan yang membawa muatan kargo dan bekalan makanan dikecualikan daripada sekatan tersebut.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Uganda, Diana Atwine berkata, langkah drastik itu terpaksa diambil memandangkan kedudukan geografi negara itu yang berhampiran dengan pusat pandemik, selain hubungan rentas sempadan yang aktif.

“Risiko penularan virus ke negara ini kekal tinggi,” katanya dalam kenyataan itu.

Langkah pencegahan itu dikuatkuasakan selepas Uganda melaporkan dua kes susulan membabitkan warga Congo yang merentasi sempadan, dengan satu kes disahkan positif manakala satu lagi kes kematian.

Pihak berkuasa bagaimanapun mengesahkan tiada kes aktif dilaporkan di Uganda setakat ini, selepas satu kes yang disyaki sebelum ini disahkan negatif melalui dua ujian saringan.

Menurut data Institut Kesihatan Awam Kebangsaan (INSP) DRC, wabak demam berdarah yang sangat berjangkit itu telah meragut 160 nyawa daripada hampir 671 kes kebarangkalian di wilayah Ituri, timur DRC yang bersempadan dengan Uganda.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah mengisytiharkan wabak maut berkenaan sebagai darurat kesihatan antarabangsa.

Susulan perkembangan itu, Amerika Syarikat bertindak memperketatkan saringan udara terhadap penumpang dari DRC, Uganda dan Sudan Selatan, manakala Bahrain mengumumkan sekatan sebulan ke atas pelawat dari ketiga-tiga negara berkenaan.

Setakat ini, masih tiada vaksin atau rawatan klinikal khusus yang ditemui bagi mengekang strain Ebola Bundibugyo yang menjadi punca kepada epidemik semasa. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.