
BEIRUT, 14 Jun – Tiga orang terbunuh dan enam lagi cedera selepas Israel menyasarkan sebuah apartmen di Ghobeiry, Dahiyeh, pinggir selatan Beirut pada Ahad.
- Israel dakwa serangan sebagai pembalasan terhadap tiga dron yang disyaki dilancarkan Hizbullah ke utara Israel.
- Hizbullah sahkan beberapa serangan terhadap tentera Israel di selatan Lubnan, tetapi tidak mengaku serangan di utara Israel.
- Rundingan damai AS-Iran dilaporkan semakin hampir; Iran menuntut gencatan senjata di Lubnan dimasukkan dalam sebarang perjanjian.
Tentera Israel mendakwa kononnya serangan itu sebagai tindak balas terhadap tiga dron yang disyaki dilancarkan Hizbullah mengenai utara Israel.
Hizbullah pula mengesahkan melakukan beberapa serangan terhadap tentera Israel yang menceroboh selatan Lubnan, namun tidak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden di utara Israel.
Perkembangan itu berlaku ketika perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan perang di Asia Barat dikatakan semakin hampir dicapai.
Bagaimanapun, ketua perunding Iran Mohammad Bagher Ghalibaf menegaskan “tiada gunanya” meneruskan rundingan damai dengan Washington selepas serangan berkenaan.
Tehran menegaskan gencatan senjata di Lubnan mesti menjadi sebahagian daripada sebarang perjanjian damai.
Perang terbaharu Israel dan Hizbullah tercetus sejak 2 Mac lalu selepas kumpulan disokong Iran itu melancarkan roket ke arah Tel Aviv sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran dalam serangan AS-Israel beberapa hari sebelumnya. – AFP