
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa susulan kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi berkenaan.
- SPR menerima surat rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
- Kekosongan diisytiharkan di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan menerusi surat rasmi.
- Bekas Timbalan Presiden dan bekas Naib Presiden PKR mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti.
Menurut Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, pihaknya telah menerima surat rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung perkara itu.
Beliau berkata, kekosongan tersebut diisytiharkan di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan menerusi surat bertarikh 20 Mei 2026.
“Berdasarkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang Dipertua Dewan Rakyat turut memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen masing-masing serta keluar daripada parti itu, berkuat kuasa pada 18 Mei lalu.