Malaysia antara negara paling dipercayai di dunia

Foto fail

PETALING JAYA, 20 Mei– Malaysia tersenarai antara negara paling dipercayai di dunia tahun ini apabila menduduki tempat ketujuh daripada 28 negara dalam Laporan Edelman Trust Barometer 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Indeks kepercayaan meningkat kepada 71 mata, naik daripada 66 tahun lalu.
  • Kajian menilai keyakinan rakyat terhadap perniagaan, kerajaan, media dan pertubuhan bukan kerajaan.
  • Fenomena kepercayaan tertutup meningkat; 65 peratus sukar mempercayai mereka berlainan pandangan politik, budaya atau sumber maklumat.
  • Komunikasi jelas dan telus diperlukan, manakala penyiar awam perlu menyampaikan maklumat sahih untuk memperkukuh keyakinan masyarakat.

Indeks Kepercayaan Malaysia turut meningkat kepada 71 mata berbanding 66 mata tahun lalu.

Kajian itu menilai tahap keyakinan rakyat terhadap sektor perniagaan, kerajaan, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Namun, laporan tersebut turut mendedahkan peningkatan fenomena “kepercayaan tertutup” atau insular trust dalam kalangan masyarakat.

Sebanyak 65 peratus rakyat Malaysia didapati semakin sukar mempercayai individu yang mempunyai pandangan politik, latar budaya dan sumber maklumat berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Penasihat Kanan Edelman Asia Tenggara, Mazuin Zin berkata, tahap kepercayaan tinggi rakyat Malaysia terhadap institusi merupakan sesuatu yang membanggakan.

Menurut beliau, komunikasi yang jelas dan telus penting bagi mengelakkan salah faham serta persepsi yang tidak tepat dalam kalangan masyarakat.

“Jika terlalu sedikit penjelasan diberikan, lebih banyak andaian akan timbul.

Sebab itu komunikasi yang jelas penting supaya masyarakat memahami hala tuju dan matlamat yang ingin dicapai bersama,” katanya pada Majlis Pelancaran Edelman Trust Barometer Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, penyiar awam perlu memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang sahih kepada masyarakat.

“RTM sebagai penyiar awam perlu menjadi penghubung yang dapat mendekatkan masyarakat dengan maklumat yang tepat dan dipercayai.

Dalam suasana komunikasi hari ini yang semakin mencabar, institusi media perlu tampil memperkukuh keyakinan rakyat terhadap maklumat yang disampaikan,” katanya.

Kajian Edelman Trust Barometer 2026 dilancarkan Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong.

Kajian tersebut dijalankan antara 23 Oktober hingga 18 November 2025 melibatkan 28 negara dengan penyertaan 33,938 responden termasuk kira-kira 1,200 responden bagi setiap negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.