BNM nilai perkembangan ekonomi, inflasi sebelum tentukan hala tuju OPR – Gabenor

Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menilai perkembangan makroekonomi terkini sebelum menentukan pendirian dasar monetari yang bersesuaian, termasuk sebarang perubahan terhadap Kadar Dasar Semalaman (OPR).

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar monetari akan disesuaikan supaya selari dengan prospek pertumbuhan ekonomi dan tahap inflasi negara.
  • MPC akan menilai sama ada kenaikan harga meluas, dipacu oleh pertumbuhan, atau berterusan sebelum mengambil tindakan.
  • Mesyuarat MPC seterusnya pada 3 September; OPR kini 2.75 peratus selepas penurunan pada 9 Julai 2025.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, penilaian itu penting bagi memastikan pendirian dasar monetari kekal selaras dengan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi negara.

“Kita telah melihat pertumbuhan ekonomi yang kukuh. Seperti yang saya nyatakan, berdasarkan bukti yang kita lihat sekarang dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan kadar inflasi pada tahap semasa.

Kita akan menilai bagaimana keadaan ini mempengaruhi prospek kestabilan harga dan inflasi pada masa hadapan. Sekiranya prospek tersebut berubah, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Kedua 2026 di sini, hari ini.

Tambah beliau, kestabilan harga kekal menjadi objektif utama dasar monetari BNM, terutama di sebalik peningkatan ketidaktentuan ekonomi serta harga tenaga global.

“Kita akan melihat sama ada kenaikan harga itu berlaku secara meluas, dan sama ada ia didorong oleh pertumbuhan ekonomi. Kedua, sama ada kenaikan tersebut berlaku secara berterusan atau setiap bulan. Perkara ini akan menjadi prinsip panduan dalam setiap keputusan yang dibuat oleh MPC apabila kita bermesyuarat,” katanya.

Mesyuarat MPC BNM seterusnya dijadual akan berlangsung pada 3 September nanti.

OPR terkini berada pada 2.75 peratus, selepas BNM menurunkannya daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus pada 9 Julai 2025.

Sebelum itu, OPR dikekalkan pada paras 3.00 peratus sejak 3 Mei 2023.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.