
KALIMANTAN, 3 Oktober – Komuniti di Palangka Raya, di sini yang mengendalikan ‘Rumah Aman Asap’ menyediakan rawatan oksigen dan nebulizer secara percuma kepada penduduk susulan jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah yang melanda sebahagian Kalimantan Tengah.
- Rumah Aman Asap sediakan rawatan percuma: oksigen, nebulizer, ubat dan sokongan sukarelawan kepada penduduk terjejas jerebu.
- Sukarelawan menghantar oksigen bergerak, memasang tiub hidung dan menyediakan rawatan bagi pesakit yang sukar bernafas.
- Pusat RAKAT beroperasi 9 pagi hingga 6 petang, bekalkan vitamin, pelitup muka dan penapis udara untuk lindungi golongan terdedah.
Orang dewasa dan kanak-kanak mendapatkan rawatan dengan mesin nebulizer selain dibantu sukarelawan yang menyediakan ubat-ubatan, peralatan rawatan serta bekalan oksigen perubatan.
Sukarelawan turut dilihat menghantar peralatan oksigen menggunakan motosikal dan berjalan kaki sebelum memasang tiub hidung kepada pesakit yang mengalami kesukaran bernafas.
Seorang penduduk, Isna, berkata, rawatan percuma itu membantu mengurangkan masalah pernafasan yang dialami.
“Saya diberikan ubat dan sebelum ini turut menerima rawatan nebulizer. Syukur, rawatan itu membantu mengurangkan sesak nafas saya. Keadaan saya kini jauh lebih baik.
“Rawatan nebulizer percuma ini sangat membantu kami sebagai penduduk,” katanya.
Bagi seorang lagi penduduk, Pangati, rawatan itu membantunya untuk mendapatkan rawatan oksigen susulan keadaan berjerebu di kawasan yang diduduki.
“Kami mengalami kesukaran bernafas kerana asap sangat tebal. Walaupun pintu ditutup, asap masih masuk,” katanya.
Pegawai Kesihatan Kalimantan Tengah berkata, musim kemarau dan asap akibat kebakaran hutan serta tanah meningkatkan risiko penyakit pernafasan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau kardiovaskular.
Ketika keadaan jerebu semakin buruk, gabungan yang dikenali sebagai RAKAT membuka ‘Rumah Aman Asap’ pertama di Palangka Raya pada 22 Ogos lalu.
Gabungan itu menghimpunkan pertubuhan masyarakat sivil dan kumpulan komuniti bagi menangani kesan kebakaran hutan dan tanah.
Beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang waktu tempatan, pusat berkenaan menyediakan oksigen, nebulizer, ubat-ubatan, vitamin, pelitup muka dan penapis udara.
Sukarelawan turut menyediakan perkhidmatan penghantaran oksigen bergerak kepada penduduk yang tidak dapat hadir ke pusat berkenaan.- VIORY