Fasiliti Aramco di Riyadh dilaporkan terbakar

Kebakaran dan kepulan asap tinggi menjulang dari sebuah fasiliti milik syarikat minyak Arab Saudi, Aramco, di selatan Riyadh/ AFP

RIYADH, 3 Oktober – Kebakaran dan kepulan asap dilihat tinggi menjulang dari sebuah fasiliti milik syarikat minyak Arab Saudi, Aramco, di selatan Riyadh pada Sabtu namun punca kejadian masih belum diketahui.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dalam beberapa minggu kebelakangan ini Aramco menjadi sasaran serangan Houthi susulan konflik Yaman.
  • Aramco kekal sebagai pemain utama ekonomi Saudi dan antara syarikat terbesar dunia berdasarkan permodalan pasaran.
  • Houthi mendakwa melancarkan serangan di Riyadh, Yanbu dan Najran, serta mengisytiharkan sekatan maritim menjejaskan penghantaran minyak Saudi.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Aramco yang majoritinya dimiliki kerajaan Arab Saudi, menjadi sasaran serangan kumpulan Houthi terhadap kerajaan itu susulan konflik di Yaman, yang menyaksikan Riyadh menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Aramco kekal sebagai syarikat utama dalam ekonomi Arab Saudi dan antara syarikat terbesar dunia berdasarkan permodalan pasaran.

Pada September, Houthi mendakwa melancarkan serangan terhadap sasaran yang disifatkan “sensitif” di Riyadh serta fasiliti Aramco di bandar pelabuhan Yanbu.

Pada Ogos, kumpulan itu turut mendakwa menyasarkan sebuah lapangan terbang dan fasiliti milik Aramco di wilayah Najran, selatan Arab Saudi.

Pada Julai pula, Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, termasuk serangan ke atas kapal tangki milik negara itu di Laut Merah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan berterusan Riyadh untuk menghantar sejumlah besar minyak mentah ke pasaran antarabangsa.

Yaman, pula telah terjebak dalam konflik perang saudara selama lebih sedekad. Pada Sabtu, bunyi letupan kuat turut kedengaran di ibu negara Yaman, Sanaa.

Houthi pula melaporkan serangan udara di kawasan berkenaan yang dilakukan pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.