Ekonomi Malaysia tumbuh 6.0 peratus suku kedua 2026

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh 6.0 peratus pada suku kedua 2026, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prestasi eksport lebih kukuh, khususnya sektor elektrik dan elektronik serta aktiviti minyak dan gas.
  • Permintaan disokong perbelanjaan isi rumah stabil, pelaburan swasta meningkat dan eksport bersih melonjak 168.5 peratus.
  • Penawaran ekonomi kukuh dengan pengembangan perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pembinaan; pertanian menguncup 4.7 peratus.

Prestasi itu mengatasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.8 peratus, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan 5.7 peratus bagi separuh pertama tahun ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Siti Asiah Ahmad berkata, pertumbuhan itu dipacu terutamanya oleh prestasi eksport yang lebih kukuh, khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta aktiviti minyak dan gas.

Perbelanjaan isi rumah yang kekal stabil serta aktiviti pelaburan berterusan turut menyokong pertumbuhan ekonomi pada suku berkenaan.

“Dari sudut permintaan, perbelanjaan penggunaan isi rumah meningkat 4.8 peratus, manakala pelaburan swasta berkembang 4.3 peratus.

“Perbelanjaan penggunaan kerajaan dan pelaburan sektor awam pula masing-masing meningkat 7.6 peratus dan 6.3 peratus. Di samping itu, eksport bersih meningkat ketara sebanyak 168.5 peratus pada suku ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Kedua 2026 di sini, hari ini.

Menurut Siti Asiah, dari segi penawaran, pertumbuhan ekonomi pada suku kedua kekal berdaya tahan, disokong pengembangan sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta pembinaan.

“Sektor perkhidmatan berkembang 5.9 peratus, manakala sektor pembuatan mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 7.3 peratus.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian pula kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 9.2 peratus, manakala sektor pembinaan terus berkembang 6.5 peratus. Bagaimanapun, sektor pertanian menguncup 4.7 peratus pada suku berkenaan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.