
PUTRAJAYA, 28 Oktober – Hampir 100,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi 2,750 projek pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2026, sekali gus membuka peluang kepada rakyat Malaysia memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi dengan pendapatan lebih baik.
- Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM218.5 bilion, meningkat 11.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
- Kejayaan pelaburan diukur melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan peningkatan pendapatan pekerja.
- Industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, aeroangkasa, pembuatan pintar, AI dan teknologi hijau memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
- NIMP 2030 dan RMK13 menekankan industri bernilai tinggi, penerapan teknologi serta peningkatan produktiviti dan pembangunan bakat untuk capai sasaran pendapatan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion dalam tempoh itu, meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, kejayaan pelaburan negara bukan sekadar diukur melalui nilai pelaburan, tetapi berdasarkan pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan peningkatan pendapatan pekerja.
“Persoalan lebih penting ialah berapa banyak teknologi dapat dikuasai oleh rakyat Malaysia? Berapa ramai bakat tempatan boleh mengisi jawatan teknikal dan profesional? Berapa banyak syarikat tempatan mampu naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi?,” katanya pada Majlis Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) 2026 malam tadi.
Teks beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) MITI, A.R. Jaya Singam.
Menurut Datuk Hairil Yahri, pembangunan industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, aeroangkasa, pembuatan pintar, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau perlu disokong tenaga kerja tempatan berkemahiran serta memenuhi keperluan industri.
Beliau berkata, manfaat teknologi canggih tidak dapat dimaksimumkan tanpa tenaga pakar tempatan, termasuk juruteknik, jurutera dan profesional yang berupaya mengendalikan serta membangunkan teknologi berkenaan.
“Sebab itulah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) memberi penekanan kepada industri bernilai tinggi, kerencaman ekonomi dan penerapan teknologi. Sama ada dalam semikonduktor, aeroangkasa, pembuatan pintar, kecerdasan buatan atau teknologi hijau, pelaburan dan pembangunan bakat mesti bergerak serentak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran gaji bulanan median sebanyak RM3,500 menjelang 2030 selain meningkatkan bahagian pampasan pekerja kepada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata, sasaran berkenaan perlu disokong pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.6 peratus setahun melalui penggunaan teknologi, peningkatan kemahiran dan proses kerja lebih cekap.
Tambah beliau, usaha meningkatkan bilangan pekerja mahir juga perlu dipergiat memandangkan golongan itu hanya mewakili 30.1 peratus daripada keseluruhan guna tenaga pada 2025 berbanding sasaran nasional sebanyak 35 peratus menjelang 2030.
Sementara itu, majlis sama turut menyaksikan penyampaian Anugerah Media ADI 2026 dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengungguli dua kategori yang dipertandingkan.
Zarith Sofia Hatun Rahman Khan dari Biz Malaysia, Seksyen Ehwal Semasa RTM muncul johan kategori Televisyen, Radio dan Portal Video, manakala Nursyamimi Syahira Saripan dari Unit Media Digital Interaktif RTM memenangi Kategori Media Sosial/Video Pendek.
Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi.
“Ini merupakan satu kejayaan besar bagi program Biz Malaysia. Sesungguhnya, kejayaan ini adalah hasil kerja berpasukan yang menyuntik semangat kami untuk terus menghasilkan laporan dan menerbitkan program-program ekonomi yang memberi impak besar kepada industri serta rakyat.
Kami berharap segala inisiatif dan manfaat yang dibawa oleh kerajaan dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh rakyat. Kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada kami semua untuk terus memberikan yang terbaik,” kata Zarith Sofia Hatun.
“Ini akan menjadi penyuntik semangat untuk kami lebih menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu, karya yang dapat memberikan makna kepada masyarakat, sekali gus kita dapat memberi pendedahan kepada mereka mengenai akademik dalam industri dan juga mengetahui apa sebenarnya yang mereka boleh lakukan kepada generasi di luar sana untuk mencari peluang-peluang pekerjaan dan sebagainya. Dan sudah semestinya kita menzahirkan penghargaan sebesar-besarnya kepada RTM kerana memberi peluang dan kepercayaan untuk kita sama-sama menjayakan agenda-agenda pemerkasaan ekonomi,” kata Nursyamimi Syahira.
