Thailand lancar subsidi tenaga suria untuk sejuta isi rumah

Gambar Hiasan /RTM

BANGKOK, 27 Oktober – Thailand melancarkan program bernilai 50 bilion baht (kira-kira US$1.48 bilion) pada Selasa bagi memberikan subsidi pemasangan sistem panel tenaga suria kepada sejuta isi rumah, membolehkan kediaman menjana tenaga elektrik sendiri dan menjual lebihan tenaga kepada grid nasional, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menyediakan subsidi sehingga 50,000 baht bagi setiap isi rumah untuk pemasangan panel tenaga suria.
  • Program dianggarkan mengurangkan bil elektrik isi rumah lebih 24.5 bilion baht setiap tahun.
  • Inisiatif ini meningkatkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan, membina tabungan dan meningkatkan kualiti hidup secara nyata.
  • Pihak berkuasa elektrik mengendalikan pendaftaran dan penyambungan, manakala pemasangan dijalankan oleh mereka atau vendor berdaftar.

Menerusi program “Tenaga Suria Rakyat” yang diluluskan oleh Kabinet itu, kerajaan akan menyediakan bantuan sehingga 50,000 baht (kira-kira US$1,480) bagi setiap isi rumah.

Program itu dianggarkan dapat mengurangkan bil elektrik isi rumah sebanyak lebih 24.5 bilion baht (kira-kira US$725 juta) setahun secara keseluruhan.

Pada majlis pelancaran program itu, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata skim berkenaan bukan sahaja merupakan langkah berkaitan tenaga malah turut menjadi inisiatif ekonomi dan sosial yang akan meningkatkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan, membina tabungan serta meningkatkan kualiti hidup secara nyata.

Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan dan Pihak Berkuasa Elektrik Wilayah milik kerajaan akan mengendalikan program itu sebagai pusat sehenti yang menguruskan pendaftaran dan penyambungan ke grid elektrik. Pemasangan sistem panel tenaga suria pula akan dilaksanakan oleh kedua-dua pihak berkuasa berkenaan atau vendor berdaftar. -BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.