CIMB Artober 2026 perkasa ekonomi kreatif, sokong penggiat seni tempatan

CIMB Artober 2026 memperkukuh hubungan antara penggiat seni, perniagaan dan komuniti

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) terus memacu ekonomi kreatif negara dengan menyokong penggiat seni tempatan termasuk bakat baharu serta artis kurang upaya, selain memperluas akses pasaran dan peluang menjana pendapatan melalui karya seni.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh hubungan antara penggiat seni, perniagaan dan komuniti, bukan sekadar platform komersial.
  • Menjana jualan seni RM23 juta, menyokong lebih 200 penggiat dan 50 galeri; sebahagian hasil disalurkan untuk Gaza.
  • Menekankan keterangkuman melalui penyertaan artis kurang upaya dan individu menghidap penyakit nadir.
  • Acara lima hari di Ombak KLCC: pameran, sesi apresiasi, interaksi artis dan lelongan amal; kemasukan percuma.

Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar berkata, CIMB Artober 2026 bukan sekadar platform komersial, malah memperkukuh hubungan antara penggiat seni, perniagaan dan komuniti.

“Sehingga kini, platform itu telah menjana jualan karya seni bernilai RM23 juta, menyokong lebih 200 penggiat seni serta 50 galeri dan usahawan seni, selain mengumpul RM2 juta untuk Mercy Malaysia bagi membantu Gaza”,katanya ketika berucap pada majlis perasmian CIMB Artober 2026 di Ombak KLCC, yang disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Beliau turut berkata, penganjuran tahun ini turut memberi penekanan kepada usaha memperluas keterangkuman dalam industri seni menerusi penyertaan artis kurang upaya dan individu yang menghidap penyakit nadir.

Acara yang berlangsung selama lima hari dari 28 Oktober hingga 1 November itu bertempat di Aras 1, Ombak KLCC, dari 10 pagi hingga 10 malam, dengan kemasukan percuma.

Selain pameran karya seni tempatan, pengunjung berpeluang menyertai program apresiasi seni, sesi perkongsian ilmu serta berinteraksi secara langsung dengan artis, pemilik galeri dan pengumpul karya.

Satu lelongan seni kendalian MERCY Malaysia turut dijadualkan pada 1 November, dengan hasil jualan disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan Am pertubuhan itu.

Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha institusi kewangan itu memperluas sumbangan sektor korporat dalam pembangunan seni dan budaya, di samping mewujudkan peluang ekonomi yang lebih menyeluruh kepada komuniti kreatif negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.