Belanjawan 2027: EXIM Bank peruntuk lebih RM1 bilion bantu pengeksport tempatan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – EXIM Bank komited untuk memperkukuh keupayaan perniagaan Malaysia di peringkat global serta amalan mampan menerusi inisiatif strategik bernilai lebih RM1 bilion di bawah Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM300 juta untuk Program Pecutan dan Pertumbuhan Tempatan bagi pembiayaan mampu milik meningkatkan kapasiti, produktiviti dan daya saing vendor tempatan.
  • RM500 juta di bawah Skim Lonjakan Eksport untuk membina keupayaan pengeksport menembusi pasaran baharu dan mengembangkan pasaran sedia ada.
  • RM400 juta Dana Kelestarian Alam 2.0 untuk membiayai inisiatif rendah karbon dan galakkan operasi perniagaan lebih mampan selaras matlamat ESG.

Bank itu memaklumkan, peruntukan itu akan membantu perusahaan mengembangkan perniagaan, mempelbagaikan pasaran dan membuat pelaburan secara mampan menerusi pembiayaan serta perlindungan kredit eksport.

EXIM Bank dalam kenyataan berkata, Program Pecutan dan Pertumbuhan Tempatan dengan peruntukan sebanyak RM300 akan menyediakan pembiayaan mampu milik bagi membantu pengilang, penyedia perkhidmatan dan vendor tempatan meningkatkan kapasiti, menambah baik produktiviti serta memperkukuh daya saing.

”Program ini memperkukuh keupayaan perniagaan tempatan menyertai rantaian bekalan syarikat multinasional dan syarikat korporat utama, khususnya dalam sektor strategik NIMP 2030, serta meluaskan integrasi ke rangkaian serantau dan global,” jelas bank itu dalam satu kenyataan.

Selaras pendekatan itu, sebanyak RM500 juta turut diperuntuk di bawah Skim Lonjakan Eksport bagi membangunkan keupayaan serta kemahiran pengeksport menembusi pasaran baharu serta memperluas pasaran sedia ada, termasuk pasaran bukan tradisional.

Selain itu, geran RM5 juta di bawah Malaysia Global Connect GoExport Cover menyediakan perlindungan risiko perdagangan di pasaran baharu.

EXIM Bank turut menyediakan RM400 juta menerusi Dana Kelestarian Alam 2.0 untuk membiayai inisiatif rendah karbon dan menggalakkan operasi perniagaan lebih mampan selaras dengan matlamat ESG negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.