MediAsas perlu tawar perlindungan lebih menyeluruh

Presiden Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid / Foto Janaan AI

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kaedah pengiraan premium bagi Pelan MediAsas yang menggunakan pendekatan berasaskan penilaian risiko, wajar ditambah baik bagi menawarkan perlindungan kesihatan yang lebih menyeluruh, khususnya bagi individu yang mempunyai penyakit kronik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kaedah penilaian risiko berisiko mengecualikan pesakit kronik, pendekatan yang tidak diamalkan oleh negara maju.
  • Pengecualian 35 kriteria utama melibatkan penyakit kronik; berpotensi mengecualikan dua pertiga penduduk daripada perlindungan.
  • Cadangan penilaian komuniti menggunakan kadar premium seragam untuk mengurangkan beban pesakit berisiko tinggi dan elakkan pengecualian.

Presiden Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, langkah itu penting bagi memastikan MediAsas menjadi pelan perlindungan kesihatan yang mampu milik dan dapat memenuhi keperluan perlindungan kesihatan tanpa dibatasi kriteria pengecualian yang terlalu banyak.

“MediAsas menggunakan kaedah yang kita sebut sebagai penilaian risiko. Kaedah ini tidak lagi digunakan di negara-negara maju seperti negara-negara Eropah dan negara lain.

“Apabila kita menggunakan kaedah tersebut, pesakit yang mempunyai penyakit kronik dan sebagainya mungkin tidak mendapat perlindungan atau akan dikecualikan daripada perlindungan insurans,” katanya dalam segmen Kanta Niaga di RTM hari ini.

Tambah beliau, pengecualian 35 kriteria utama di bawah MediAsas turut menimbulkan kebimbangan berikutan ia hanya melibatkan penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi.

“Kalau kita lihat, ini bermakna dua pertiga daripada penduduk kita tidak akan layak mendapat perlindungan. Jadi, perkara inilah yang harus kita perbaiki jika kita mahu menggunakan MediAsas ini,” jelasnya lagi.

Bagi menangani kekangan itu, beliau mencadangkan kaedah penilaian komuniti, yang menggunakan pendekatan kadar premium yang sama bagi sesebuah masyarakat atau kawasan geografi.

Langkah itu katanya, berpotensi mengurangkan beban premium bagi individu yang mempunyai risiko kesihatan lebih tinggi, selain mengelakkan pencarum daripada dikecualikan daripada perlindungan berdasarkan faktor risiko tertentu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan menerusi Belanjawan 2027 bahawa Pelan MediAsas akan dilancarkan mulai Januari 2027 dengan kadar premium mampu milik bagi membantu rakyat mendapatkan perlindungan kesihatan.

Menerusi pelan itu, bayaran hospital akan ditentukan berdasarkan jenis diagnosis dan rawatan bagi membantu mengawal kos serta menjadikannya lebih mudah dijangka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.