
ROM, 3 Oktober – Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di luar Parlimen Itali di sini pada Jumaat bagi membantah cadangan undang-undang berkaitan anti-Semitisme, yang menurut mereka boleh mengehadkan kritikan terhadap rejim Zionis Israel dan menyekat suara pro-Palestin.
- Rang Undang-Undang 1004 dikatakan mengkriminalkan gerakan pro-Palestin dan mengehadkan kebebasan bersuara.
- Penunjuk perasaan menegaskan anti-Zionisme bukan anti-Semitisme, menuntut perbezaan pendapat dihormati.
- Mereka menggesa sekatan serta pemutusan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel.
Penunjuk perasaan berarak sambil melaungkan slogan, mengibarkan bendera Palestin dan Iran serta membawa plakad antaranya bertulis “Perbezaan pendapat tidak boleh didiamkan” dan “Anti-Zionisme bukan anti-Semitisme.”
Presiden Gerakan Pelajar Palestin di Itali, Maya Issa, berkata, demonstrasi itu diadakan bagi membantah Rang Undang-Undang 1004 yang didakwa bertujuan mengehadkan kebebasan bersuara.
“Kami berada di sini untuk membantah Rang Undang-Undang 1004, yang bertujuan mengkriminalisasikan gerakan untuk Palestin dan menapis suara kami.
“Rang undang-undang ini cuba menyamakan anti-Semitisme dengan anti-Zionisme,” katanya.
Issa turut menggesa pengenaan sekatan terhadap Israel serta Itali memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Tel Aviv.
Aktivis itu turut mendakwa Israel kini menjadi ancaman kepada masyarakat Yahudi sendiri serta komuniti antarabangsa.
Pelakon Massimo Wertmuller pula memberi amaran bahawa dunia kini berdepan risiko lebih besar susulan apa yang disifatkannya sebagai tindakan kuasa nuklear yang tidak dikenakan tindakan.
Beliau menyifatkan rang undang-undang berkenaan sebagai ancaman terhadap kebebasan menyuarakan pandangan pada ketika kritikan terhadap keadaan dunia semakin penting.- VIORY