
NIBONG TEBAL, 3 Oktober – Pelaksanaan Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) WiFi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Universiti Sains Malaysia (USM) memberi manfaat langsung kepada pelajar menerusi capaian internet yang lebih pantas dan stabil.
- Pelajar melaporkan tugasan dan muat naik bahan pembelajaran kini lebih laju dan mudah, memudahkan penyediaan tugasan.
- Capaian lebih baik membolehkan pelajar akses internet tanpa berpindah ke kafe atau pusat pengajian, meningkatkan keselesaan belajar.
- Di Pulau Pinang projek melibatkan 32 lokasi dengan anggaran kos RM61.5 juta, dan 1,925 titik akses telah beroperasi di USM.
Inisiatif itu memudahkan mereka menyiapkan tugasan, memuat naik bahan pembelajaran serta mengakses internet tanpa terlalu bergantung kepada capaian persendirian.
Pelajar USM, Nur Khalisha Fauzi menyifatkan perubahan itu sebagai sangat ketara berbanding keadaan sebelum ini apabila capaian internet lebih perlahan.
“Sebelum ini internet di sini sangat perlahan. Sekarang saya boleh buat tugasan dan memuat naik video dengan lebih laju dan pantas,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Qayyum Aizat Norazlan berkata, peningkatan jaringan internet membantu pelajar melaksana tugasan dengan lebih lancar.
“Ketika pertama kali masuk, jaringan internet agak perlahan, tetapi selepas dinaik taraf, kami dapat menggunakannya dengan lebih baik untuk melaksanakan tugasan,” katanya.
K. Lucitha pula berkata, capaian yang lebih baik membolehkannya mengakses internet tanpa perlu bergerak ke lokasi lain semata-mata untuk mendapatkan WiFi.
“Sekarang saya dapat mengakses internet dengan lebih laju dan tidak perlu pergi ke kafe atau pusat pengajian untuk mendapatkan WiFi,” katanya.
Sementara itu, Amirulzamir Amirulzali berkata, proses menghantar tugasan kini lebih mudah selepas penambahbaikan berkenaan.
“Harapan saya, dengan penambahbaikan ini, pelajar akan lebih bersemangat untuk belajar dan menimba ilmu,” katanya.
Di Pulau Pinang, sebanyak 32 lokasi dipilih menerusi projek berkenaan dengan anggaran kos RM61.5 juta.
Setakat ini, sebanyak 1,925 titik akses telah beroperasi di USM menerusi pelaksanaan fasa dua dan tiga.