
DUNGUN, 3 Oktober – Literasi pertahanan dalam kalangan masyarakat perlu diperkasa bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara terus terpelihara.
- Pertahanan bukan tanggungjawab ATM semata; memerlukan penglibatan semua pihak.
- Pemahaman keselamatan membolehkan masyarakat menyumbang secara aktif dalam usaha mempertahankan negara.
- Dungun dianggap strategik kerana kepentingan ekonomi petroleum dan perairan kaya sumber alam.
- Karnival CIMIC memberi pendedahan peranan ATM, termasuk pertunjukan udara PASKAU; masyarakat jadi mata dan telinga melapor kepada agensi keselamatan.
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Seri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, pertahanan negara bukan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak.
Menurutnya, pemahaman terhadap aspek keselamatan membolehkan masyarakat bukan sahaja mengetahui peranan ATM, malah turut menyumbang dalam usaha mempertahankan negara.
“Kita sedia maklum Dungun ini merupakan kawasan yang strategik dan mempunyai kepentingan dari sudut ekonomi kerana petroleumnya, manakala perairan di sekitarnya kaya dengan sumber alam.
“Sekiranya masyarakat mempunyai kesedaran terhadap aspek keselamatan, masyarakat setempat boleh menjadi mata dan telinga serta menyampaikan maklumat bukan sahaja kepada ATM, tetapi juga kepada agensi keselamatan lain,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Civil Military Cooperation (CIMIC) 2026 di Dungun.
Program itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan ATM.
Karnival berkenaan turut menampilkan pertunjukan udara oleh Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU).