
LANGKAWI, 3 Oktober – Kepelbagaian kaum, budaya dan agama dimanfaatkan sebagai asas memperkukuh interaksi sosial menerusi Program Eksplorasi Perpaduan Langkawi 2026.
- Program menghimpunkan belia, pelajar, keluarga dan agensi kerajaan untuk memperkukuh interaksi sosial.
- Pengisian menekankan kefahaman terhadap budaya, warisan dan penerapan nilai komunikasi antara komuniti.
- Kementerian bekerjasama dengan pemain industri, menegaskan pentingnya kebersamaan dalam kepelbagaian.
- Program melibatkan 150 pasukan serta aktiviti kebudayaan, komuniti dan pendidikan bagi suasana inklusif.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, program itu menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang antaranya belia, pelajar, keluarga dan agensi kerajaan.
Menurutnya, pengisian program memfokuskan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya dan warisan, selain penerapan nilai komunikasi,
“Dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan pemain industri yang ada di Langkawi, kita bergerak bersama-sama kerana perkara ini sangat penting.
“Dalam kepelbagaian itu hendaklah ada kebersamaan. Jadi, kita perlu bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Eksplorasi Perpaduan Langkawi 2026, hari ini.
Jelasnya lagi, kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam tidak seharusnya menjadi penghalang, sebaliknya ruang untuk masyarakat saling mengenali, memahami dan menghormati perbezaan.
Mengenai Eksplorasi Perpaduan Langkawi 2026, beliau memaklumkan, 150 pasukan menyertainya.
Program itu turut mengetengahkan aktiviti kebudayaan, komuniti dan pendidikan bagi menyediakan ruang untuk berinteraksi dan bekerjasama dalam suasana inklusif.