Alliance Bank unjur ekonomi Malaysia berkembang hampir 5%

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Alliance Bank menjangkakan ekonomi Malaysia akan kekal berdaya tahan bagi 2026 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berpotensi menghampiri lima peratus, disokong prestasi pelbagai sektor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keuntungan bersih selepas cukai FY2026 meningkat 10.1% kepada RM826.5 juta.
  • Pendapatan bersih meningkat 8.6% kepada RM2.47 bilion, didorong pendapatan faedah bersih dan kenaikan pendapatan bukan faedah 42%.
  • Kualiti aset dan modal kukuh; nisbah pinjaman terjejas kasar 1.73% dan deposit pelanggan meningkat 8.8%.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kellee Kam berkata walaupun berdepan ketidaktentuan global, prestasi ekonomi setakat separuh pertama tahun ini menunjukkan momentum yang positif.

“Buat masa ini, harga minyak masih turun naik, manakala gangguan rantaian bekalan semakin reda berdasarkan data semasa.

“Kami yakin pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berada pada paras tertinggi dalam julat unjuran kerajaan, iaitu antara empat hingga lima peratus dan berpotensi menghampiri lima peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Alliance Bank yang ke-44, di sini, hari ini.

Sementara itu, bank tersebut mencatatkan prestasi kewangan tertinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026), apabila keuntungan bersih selepas cukai meningkat 10.1 peratus kepada RM826.5 juta.

Pendapatan bersihnya turut meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun kepada RM2.47 bilion, didorong pendapatan faedah bersih sebanyak RM2.01 bilion serta peningkatan 42 peratus dalam pendapatan bukan faedah kepada RM459.2 juta.

Prestasi disokong kualiti aset yang kekal kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas kasar bertambah baik kepada 1.73 peratus berbanding 1.83 peratus setahun sebelumnya.

Kedudukan modal bank juga terus mengukuh, manakala deposit pelanggan meningkat 8.8 peratus.

Bank itu turut mengisytiharkan dividen keseluruhan sebanyak 19.1 sen sesaham, bersamaan nisbah pembayaran dividen 40 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.