
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial (KEPS) 2026 akan menghimpunkan pemain industri, pelabur dan penggerak perubahan bagi memperluas jaringan kerjasama serta pasaran perusahaan sosial tempatan.
- Anugerah akan disampaikan kepada perusahaan sosial yang komited menangani isu sosioekonomi, sosial dan alam sekitar.
- Majlis perasmian akan disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
- Program berlangsung 30 Julai hingga 2 Ogos termasuk konvensyen, pameran, bengkel Theory of Change dan karnival jualan.
- Penganjuran selaras usaha mengarusperdanakan perusahaan sosial bagi pembangunan sosioekonomi yang lebih inklusif, seimbang dan mampan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Rahman Mohd Din berkata, antara pengisian utama ialah penyampaian anugerah kepada perusahaan sosial yang menunjukkan komitmen dalam menangani isu sosioekonomi, sosial dan alam sekitar.
“Semasa perasmian, kita akan menyampaikan anugerah kepada perusahaan sosial yang menunjukkan komitmen dalam membantu menangani masalah sosioekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya kepada RTM.
Majlis perasmian esok akan disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
KEPS 2026 berlangsung dari 30 Julai hingga 2 Ogos dengan pengisian merangkumi konvensyen, pameran, bengkel serta karnival jualan.
Program konvensyen dan pameran berlangsung di Royale Chulan Damansara pada 30 Julai, disusuli bengkel Theory of Change serta ruang pasaran di Royale Chulan The Curve pada hari berikutnya.
Karnival jualan pula berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos di The Curve, Mutiara Damansara.
Penganjuran itu selaras dengan usaha mengarusperdanakan perusahaan sosial sebagai penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara yang lebih inklusif, seimbang dan mampan.