Empat kapal tunda perkukuh operasi, keselamatan Pelabuhan Labuan

Foto RTM

LABUAN, 29 Julai – Keupayaan operasi dan keselamatan Pelabuhan Labuan diperkukuh menerusi perolehan empat kapal tunda bernilai RM23 juta oleh Megah Port Management (MPM) Sdn Bhd.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan marin baru meningkatkan operasi dan keselamatan pelabuhan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan maritim.
  • Pemantauan dan pengendalian pergerakan kapal diperkemas, memudahkan merapat dan meninggalkan dermaga serta navigasi di perairan sempit.
  • Kerjasama kontrak dengan pengendali memastikan piawaian keselamatan, tenaga kerja mahir dan peralatan meningkatkan kecekapan sektor maritim.

Perolehan itu menandakan bermulanya perkhidmatan marin MPM di pelabuhan berkenaan bagi melancarkan pergerakan kapal serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan maritim.

Pelaksanaannya merupakan tanggungjawab MPM di bawah Perjanjian Kesinambungan Operasi, Fasiliti dan Pengurusan yang dimeterai bersama Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL).

Pengurus Besar LPL, Mizool Amir Mat Drus berkata, penyediaan perkhidmatan marin itu selaras perancangan pembangunan Pelabuhan Labuan.

“Ini merupakan antara perkara yang dirancang sejak awal kerana kita memerlukan pengendali pelabuhan yang komited melaksanakan obligasi.

“Peralatan yang disediakan juga dapat membantu meningkatkan tahap kecekapan sektor maritim di Labuan,” katanya.

Jelas beliau lagi, LPL yakin MPM mempunyai pengalaman, kepakaran dan tenaga kerja mahir untuk mengendalikan perkhidmatan marin mengikut piawaian keselamatan serta operasi maritim antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Urusan MPM, Datuk Seri Patrick Tiong berkata, kapal tunda berkenaan akan digunakan untuk membantu kapal merapat dan meninggalkan dermaga serta mengawal pergerakan di kawasan perairan sempit.

Kapal tunda itu juga akan digunakan untuk membantu kapal yang mengalami kerosakan atau kehilangan kuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.