Lebih 4,000 pekebun kecil terima manfaat TSPKS 2.0

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Seramai 4,364 pekebun kecil persendirian menerima manfaat Program Insentif Pembiayaan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSPKS 2.0) setakat 30 Jun lalu; membabitkan pembiayaan berjumlah RM190.13 juta bagi kawasan penanaman semula seluas 12,145.51 hektar.

RINGKASAN BERITA AI
  • TSPKS 2.0 membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula, meningkatkan produktiviti ladang, hasil dan pendapatan.
  • Kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi pelaksanaan TSPKS 2.0 untuk menyokong pekebun kecil.
  • Program menaikkan kadar penanaman semula dari 2.0% (2024) ke 3.4% (2025) dan mensasarkan sekurang-kurangnya 4% setahun menjelang 2030.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, program itu membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula pokok sawit yang melepasi umur ekonomi, sekali gus meningkatkan produktiviti ladang, hasil pengeluaran dan pendapatan mereka.

“Sehingga 30 Jun 2026, seramai 4,364 pekebun kecil persendirian telah menerima manfaat program ini melibatkan kawasan seluas 12,145.51 hektar dengan jumlah pembiayaan RM190.13 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan keseluruhan RM200 juta bagi pelaksanaan TSPKS 2.0, merangkumi RM100 juta pada 2024, RM50 juta pada 2025 dan RM50 juta pada tahun ini.

Daripada peruntukan tahun 2026 itu, sebanyak RM47.61 juta telah diluluskan kepada 1,133 pekebun kecil setakat 30 Jun lalu.

Menurut Datuk Seri Dr Noraini, pelaksanaan program berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan kadar penanaman semula kelapa sawit negara daripada 2.0 peratus pada 2024 kepada 3.4 peratus pada 2025.

“Bagi mencapai sasaran kadar penanaman semula sekurang-kurangnya empat peratus setahun menjelang 2030, kementerian akan terus memperluaskan TSPKS 2.0, menggalakkan penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi, memperkasakan khidmat Pegawai TUNAS MPOB serta meningkatkan penggunaan mekanisasi dan automasi,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan pekebun kecil secara berkelompok menerusi Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) juga akan terus diperkukuh bagi mempercepat usaha meningkatkan produktiviti sektor berkenaan.

Jelasnya lagi, penanaman semula merupakan pelaburan penting bagi memastikan hasil yang lebih tinggi, pendapatan lebih baik serta menjamin kelangsungan industri sawit negara.

Katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi kekal komited memastikan industri sawit negara terus produktif, berdaya saing dan mampan, di samping meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.