244 pekerja, majoriti warga China ditahan, dipercayai terlibat ‘judi online’

Polis Filipina./ Foto fail AFP

MANILA, 4 Oktober – Pihak berkuasa Filipina menahan 244 warga asing, kebanyakannya warga China, dalam operasi terbesar tahun ini terhadap pengendali perjudian dalam talian haram di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dijalankan oleh tentera dan agensi penguatkuasaan di dua lokasi di wilayah selatan Mindanao.
  • Pihak berkuasa merampas banyak peralatan: komputer, telefon bimbit, komputer riba dan kad SIM.
  • Beberapa yang ditahan disiasat terlibat pemerdagangan manusia; yang lain akan dihantar pulang.
  • Filipina mengharamkan POGO sejak 2024 kerana kaitan dengan jenayah terancang, pengubahan wang haram dan penipuan dalam talian.

Biro Imigresen Filipina dalam satu kenyataan memaklumkan operasi pada Jumaat itu dijalankan oleh tentera dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain di dua lokasi di wilayah selatan Mindanao.

Serbuan di lokasi pertama membawa kepada penahanan 110 warga China, dua warga Kemboja dan seorang penduduk Hong Kong.

Seramai 131 lagi warga asing ditahan di lokasi kedua, yang kebanyakannya warga China, selain warga Malaysia, Indonesia dan Myanmar.

Pihak berkuasa turut merampas sejumlah besar peralatan komputer, telefon bimbit, komputer riba dan kad SIM dalam operasi berkenaan.

Kerajaan Filipina sedang menyiasat kemungkinan kesalahan berkaitan pemerdagangan manusia membabitkan sebahagian daripada mereka yang ditahan, manakala yang lain akan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Filipina mengharamkan pengendali perjudian dalam talian yang dikenali sebagai POGO pada 2024, susulan kebimbangan bahawa kegiatan itu dijadikan perlindungan oleh kumpulan jenayah terancang untuk aktiviti pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, penipuan dalam talian, penculikan dan pembunuhan.

Ketua Imigresen Filipina, Joel Viado, berkata pihaknya akan terus menguatkuasakan undang-undang imigresen terhadap warga asing yang melanggar syarat tinggal di negara itu.

Beliau menyifatkan operasi berkenaan sebagai “serbuan POGO terbesar pada 2026”.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan China, Ji Lingpeng, berkata pihaknya sedang berhubung dengan agensi penguatkuasaan undang-undang Filipina untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.

Beliau berkata undang-undang China melarang sebarang bentuk perjudian, termasuk warga China berjudi di luar negara atau bekerja untuk syarikat perjudian.

Kebimbangan antarabangsa terhadap operasi penipuan seumpama itu di beberapa negara Asia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Operasi berkenaan sering menggunakan mangsa pemerdagangan manusia yang diperdaya atau dipaksa untuk mempromosikan pelaburan mata wang kripto palsu dan pelbagai bentuk penipuan lain. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.