
BAYAN BARU, 18 Mei – Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai antara negara perdagangan utama dengan momentum kemasukan pelaburan asing yang kekal kukuh.
- Sektor teknologi termasuk kecerdasan buatan, pusat data dan digital merupakan pemacu utama menarik pelaburan asing.
- Pembangunan infrastruktur serta kemudahan asas seperti pengangkutan, lapangan terbang dan utiliti memudahkan pelaburan berkualiti.
- Pembangunan baharu di wilayah utara memperkukuh daya tarikan kawasan sebagai destinasi pelaburan.
- Projek di Pulau Pinang seperti LRT Laluan Utara, naiktaraf LTAPP dan Lebuhraya Juru-Sungai Dua menyokong pelaburan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sektor teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI), pusat data dan digital antara pemacu utama kejayaan tersebut.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur serta penyediaan kemudahan asas seperti pengangkutan, lapangan terbang dan utiliti turut menjadi faktor penting dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negara ini.
“Setakat ini, kita melihat kejayaan Malaysia dalam menarik lebih banyak pelabur untuk datang ke negara ini. Alhamdulillah, minat pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia juga masih berada pada tahap yang tinggi.
“Kita juga melihat trend berkaitan digital, pusat data dan kecerdasan buatan (AI) terus berkembang kukuh, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara yang positif.
“Apabila saya melihat infrastruktur yang disediakan kerajaan, ia merupakan antara faktor penting yang dapat memudahkan serta menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.
“Jika dilihat di wilayah utara, pelbagai pembangunan dan kemudahan baharu telah dilaksanakan, sekali gus memperkukuh daya tarikan kawasan itu sebagai destinasi pelaburan,” kata beliau dalam Sidang Media semasa Lawatan Projek Intel Pelican di Bayan Baru.
Beliau turut memberi contoh projek-projek pembangunan di kawasan Pulau Pinang termasuk LRT Laluan Utara, naiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lebuhraya Juru-Sungai Dua.