Malaysia kekal terbuka, usaha dialog dengan Myanmar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Pendekatan Malaysia dalam berhubung dengan pelbagai pihak di Myanmar perlu dilihat sebagai usaha membuka ruang dialog dan mencari penyelesaian terhadap krisis negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perundingan diplomatik tidak semestinya bermaksud pengiktirafan atau persetujuan terhadap pihak yang ditemui.
  • Malaysia pernah jadi fasilitator, termasuk Rundingan Baling, pembukaan hubungan dengan China, rundingan Filipina-MILF dan proses damai Selatan Thailand.
  • Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berhubung dengan pelbagai pihak Myanmar termasuk NUG dan kepimpinan junta untuk mencari penyelesaian.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim berkata, perundingan merupakan sebahagian daripada kaedah diplomasi dan tidak semestinya membawa maksud pengiktirafan atau persetujuan terhadap pihak yang ditemui.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata sejarah diplomasi Malaysia turut memperlihatkan pendekatan sedemikian, termasuk Rundingan Baling pada 1955 dan keputusan membuka hubungan diplomatik dengan China pada 1974.

Katanya, Malaysia juga pernah memainkan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan antara Kerajaan Filipina dan MILF, selain terlibat dalam proses damai di Selatan Thailand.

Dalam konteks Myanmar, Kamil berkata ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, Perdana Menteri turut berhubung dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk wakil National Unity Government (NUG) dan kepimpinan junta.

Menurutnya, pendekatan tersebut menunjukkan usaha Malaysia untuk berkomunikasi dengan pihak-pihak berkaitan bagi mencari ruang penyelesaian terhadap isu yang dihadapi Myanmar.

Beliau berkata, istilah “karpet merah” tidak semestinya menggambarkan keseluruhan kerumitan diplomasi kerana membuka ruang perbincangan tidak bermakna Malaysia bersetuju dengan setiap pihak yang ditemui.

“Diplomasi adalah keberanian untuk bercakap dengan pihak yang kita tidak setujui apabila keamanan, keselamatan rantau dan nyawa manusia menjadi pertaruhannya,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.