
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia terus menunjukkan prestasi positif meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
- Penganjuran Formula 1 tiga hari dianggarkan menyumbang output ekonomi melebihi RM1 bilion.
- Kos operasi dan pematuhan meningkat akibat inflasi, gangguan rantaian bekalan serta kos tenaga dan logistik tidak menentu.
- Kekurangan tenaga kerja berkemahiran dan perubahan struktur gaji mendorong majikan menilai semula kecekapan operasi dan usaha mengekalkan pekerja.
- Perkembangan AI, automasi dan keperluan ESG menuntut pelaburan yang menekan aliran tunai, manakala MINDA menghargai daya tahan dan tadbir urus.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim memaklumkan, pencapaian itu membuktikan sektor PMKS masih mampu berkembang dan mencatat kejayaan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.
“Kita mencatatkan pertumbuhan sektor PMKS yang begitu baik, iaitu 5.7 peratus, jauh mengatasi pertumbuhan KDNK kebangsaan tahun ini. Pada suku pertama dan kedua, kedua-duanya turut mencatat pertumbuhan yang menggalakkan.
“Baru memasuki suku keempat tahun ini, pada hujung minggu lalu, penganjuran Formula 1 (F1) selama tiga hari dianggarkan menyumbang output ekonomi melebihi RM1 bilion, berdasarkan laporan sebuah institusi kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Industri Malaysia (MINDA) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara.
Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin serta Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Perkembangan itu menunjukkan prestasi sektor PMKS kekal positif ketika Malaysia memasuki suku keempat tahun ini, meskipun berdepan pelbagai tekanan ekonomi antarabangsa.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali dengan pelbagai krisis global termasuk ketegangan geopolitik dan persaingan ekonomi.
Dalam pada itu, peningkatan kos operasi dan pematuhan menjadi antara tekanan utama pemain industri susulan inflasi, perubahan rantaian bekalan global serta kos tenaga dan logistik tidak menentu.
Kekurangan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang khusus serta perubahan struktur gaji turut mendorong majikan menilai semula kecekapan operasi dan usaha mengekalkan tenaga kerja.
Pada masa sama, perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi dan keperluan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menuntut pelaburan yang memberi tekanan terhadap aliran tunai.
Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Seri Dr Abdul Malik Abdullah berkata, kelangsungan perusahaan perlu diseimbangkan dengan usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
“Pertumbuhan perniagaan yang mampan perlu bergerak seiring dengan dasar tenaga kerja yang adil dan produktif, selain komitmen meningkatkan keupayaan pekerja,” katanya.
Pendekatan itu turut menyokong usaha majikan mengadaptasi standard tempat kerja lebih progresif bagi memastikan pertumbuhan perusahaan kekal mampan.
Penganjuran edisi keenam itu menghimpunkan lebih 900 usahawan, pemimpin industri, diplomat serta pemimpin persatuan perdagangan
Sebanyak 36 penerima menerima pengiktirafan menerusi tujuh kategori utama, antaranya Anugerah Sepanjang Hayat, Anugerah Pencapaian Inspirasi dan Anugerah Kecemerlangan Global.
Antara penerima Anugerah Sepanjang Hayat ialah Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Tan Sri Khalid Ramli dan Puan Sri Datin Seri Dr Susan Cheah Seok Cheng.
Kategori lain merangkumi Anugerah Individu, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Industri Terbaik serta Anugerah Inovasi Industri bagi mengiktiraf pencapaian dalam bidang masing-masing.
Penerima dinilai berdasarkan daya tahan operasi, tadbir urus korporat, keupayaan mengurus kewangan serta impak sosioekonomi yang dicapai menerusi perniagaan masing-masing.