
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Media arus perdana termasuk televisyen, radio dan akhbar perlu menyesuaikan kandungan dengan perubahan tabiat penonton yang semakin beralih kepada platform digital.
- Perubahan demografi mengurangkan pendapatan pengiklanan televisyen dan radio, kehilangan sekitar RM2.5 bilion.
- Kerajaan sediakan Dana Inovasi Media RM30 juta bagi bantu syarikat media teroka demografi baharu dan kandungan generasi muda.
- Peralihan penonton ke telefon pintar memaksa penyesuaian kandungan serta strategi melalui platform digital untuk kekal relevan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perubahan demografi penonton turut memberi kesan besar terhadap pendapatan pengiklanan media tradisional.
“Bagi televisyen dan radio, cabaran terbesar ialah perubahan demografi dan pengiklanan. Jika sebelum ini perbelanjaan iklan bagi kedua-dua medium itu dianggarkan RM4.5 bilion setahun.
“Jumlah tersebut kini berkurang kepada kira-kira RM2 bilion, iaitu kehilangan RM2.5 bilion,” katanya dalam sebuah rancangan audio siar, pada Rabu.
Bagaimanapun, media arus perdana masih diperlukan bagi memastikan kandungan tempatan tidak bergantung sepenuhnya kepada platform asing.
Sehubungan itu, kerajaan menyediakan insentif bagi membantu syarikat media meneroka demografi baharu termasuk kalangan generasi muda.
“Kerajaan menyediakan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta untuk membantu syarikat media meneroka demografi baharu, termasuk menerusi penghasilan kandungan yang sesuai untuk generasi muda,” katanya.
Perubahan daripada televisyen kepada penggunaan telefon mudah alih turut mengubah cara penonton mendapatkan kandungan, termasuk mencari program tertentu menerusi platform digital.