Ekonomi jingga sumbang hampir 6.8 peratus KDNK negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Ekonomi jingga atau ekonomi kreatif di Malaysia dianggarkan menyumbang hampir 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi jingga merangkumi penciptaan kandungan, perfileman, muzik, seni, budaya, buku dan pempengaruh.
  • Perkembangan kandungan digital membuka peluang mengeksport kandungan dan harta intelek tempatan ke seluruh dunia.
  • Kerajaan menubuhkan Majlis Ekonomi Jingga untuk memandu dan menyokong pelbagai bidang industri kreatif.
  • Platform digital membolehkan pendapatan melalui pemasaran afiliasi, jualan produk, penstriman, tontonan dan kerjasama.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ekonomi jingga merangkumi pelbagai sektor berasaskan kreativiti termasuk penciptaan kandungan, perfileman, muzik, seni dan budaya, buku serta pempengaruh.

“Ekonomi kreatif ini adalah sektor yang sangat berpotensi untuk menjana pendapatan, menjana ekonomi negara dan untuk dieksport.

“Sekarang ini, ekonomi jingga atau ekonomi kreatif dalam negara kita dianggarkan menyumbang hampir 6.8 peratus KDNK,” katany dalam sebuah rancangan audio siar pada Rabu.

Menurut Datuk Seri Fahmi, perkembangan kandungan digital turut membuka peluang untuk kandungan dan harta intelek (IP) tempatan dieksport ke seluruh dunia.

“Ekonomi kreatif, terutama secara dalam talian, membolehkan kita mengeksport kandungan dan harta intelek (IP) tempatan ke seluruh dunia. Sebab itu, kita melihat potensi ekonomi kreatif untuk menjana pendapatan sangat besar,” jelasnya.

Potensi berkenaan mendorong kerajaan membentuk Majlis Ekonomi Jingga bagi memandu usaha membantu pelbagai bidang dalam industri kreatif.

Majlis itu akan melibatkan sektor seperti filem, muzik, permainan, e-sukan, konsol dan animasi yang mempunyai potensi besar untuk berkembang.

Pada masa sama, perkembangan platform digital turut membuka peluang kepada masyarakat menjana pendapatan melalui pemasaran afiliasi, jualan produk, penstriman, tontonan dan kerjasama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.