
BAYAN BARU, 18 Mei – Konflik yang berlaku di Asia Barat setakat ini masih belum menjejaskan sektor semikonduktor negara.
- Pemain industri mampu mengurus isu rantaian bekalan dengan berkesan melalui ekosistem yang kukuh dan penyesuaian operasi.
- Rantaian bekalan global menyesuaikan diri dengan mencari sumber alternatif bagi menggantikan bekalan terjejas, contohnya bekalan helium.
- Walaupun wujud tekanan bekalan, operasi masih berjalan baik dan permintaan terhadap semikonduktor serta teknologi AI kekal tinggi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata keadaan itu didorong oleh keupayaan pemain industri menguruskan isu rantaian bekalan dengan baik.
Menurut beliau, syarikat pengeluar semikonduktor utama memiliki ekosistem rantaian bekalan yang kukuh serta berupaya menyesuaikan operasi mengikut situasi semasa.
“Ada beberapa komponen dan bahan tertentu yang sukar diperoleh sekiranya keadaan di Asia Barat tidak stabil. Sebelum ini, misalnya, bekalan helium pernah berdepan tekanan seperti yang berlaku ketika ini.
“Bagaimanapun, kita dapat melihat rantaian bekalan global sudah mula menyesuaikan diri dengan mencari sumber alternatif bagi menggantikan bekalan yang terjejas.
“Buat masa ini, walaupun terdapat tekanan terhadap bekalan, operasi industri masih berjalan dengan baik. Sebab itu saya melihat permintaan terhadap semikonduktor dan teknologi AI masih kekal tinggi dalam tempoh terdekat.
“Isu bekalan juga kini lebih terkawal, khususnya bagi pengeluar besar dan syarikat fabrikasi utama yang memiliki ekosistem rantaian bekalan yang lebih kukuh,” kata beliau dalam Sidang Media semasa Lawatan Projek Intel Pelican di Bayan Baru.