AMRO naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.1%

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – AMRO menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 2026 kepada 5.1 peratus daripada 4.9 peratus, didorong eksport dan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang kukuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • AMRO kekal optimis, tetapi Malaysia mesti tangani cabaran, mengekalkan iklim pelaburan dan memperkukuh hubungan dagang.
  • Kerajaan digesa manfaatkan Belanjawan untuk menangani faktor struktur, memastikan manfaat pertumbuhan dirasai secara meluas.
  • AMRO menggalakkan semakan skim subsidi, beralih kepada struktur subsidi lebih bersasar memanfaatkan peluang pelaburan AI.
  • Unjuran inflasi Malaysia dikekalkan 2026 pada 2.0 peratus dan dinaikkan 2027 kepada 2.2 peratus.

Dalam kemas kini Oktober Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 , agensi itu turut menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia bagi 2027 kepada 4.8 peratus daripada 4.7 peratus sebelum ini.

Ketua Ekonominya, Dong He berkata Malaysia antara negara di rantau ini yang mendapat manfaat besar daripada kitaran pelaburan berkaitan AI ketika ini, sekali gus menyokong peningkatan unjuran pertumbuhan negara.

“Apa yang penting dalam keadaan seperti ini ialah memastikan manfaat tersebut dapat dirasai secara meluas dalam ekonomi.

“Justeru, ini merupakan peluang yang baik bagi kerajaan memanfaatkan Belanjawan untuk memastikan faktor-faktor struktur yang menyokong pertumbuhan ini dapat ditangani dengan baik dalam kitaran peningkatan ekonomi ini”, katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Selain itu, pihaknya kekal optimis terhadap prospek ekonomi Malaysia, namun negara perlu menangani cabaran, mengekalkan iklim pelaburan serta memperkukuh hubungan dagang.

Beliau turut menggalakkan Malaysia menggunakan peluang daripada kitaran pelaburan AI ketika ini untuk menilai semula skim subsidi dan beralih kepada struktur subsidi yang lebih bersasar.

Sementara itu, AMRO mengekalkan unjuran inflasi negara pada 2.0 peratus bagi 2026, namun menaikkan unjuran 2027 kepada 2.2 peratus daripada 2.0 peratus sebelum ini.

Bagi rantau ASEAN+3, pertumbuhan ekonomi diunjurkan pada 4.1 peratus bagi kedua-dua 2026 dan 2027, manakala inflasi masing-masing dijangka pada 1.6 peratus dan 1.7 peratus.

Menurutnya, kitaran pelaburan AI terus menyokong pelbagai aktiviti ekonomi di ASEAN+3, meskipun permintaan domestik masih tidak sekata.

Beliau berkata, gangguan bekalan tenaga dan input industri adalah lebih terkawal berbanding kebimbangan awal, sekali gus mengehadkan kesan terhadap pengeluaran.

Bagaimanapun, kos tenaga dan logistik yang lebih tinggi terus memberi tekanan kepada kuasa beli isi rumah serta kos operasi perniagaan.

Agensi itu turut menegaskan bahawa prospek pertumbuhan ASEAN+3 bergantung kepada permintaan berkaitan AI, yang berpotensi mengukuhkan atau menjejaskan eksport dan pelaburan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.