Ringgit dijangka diniagakan RM3.93–RM3.98 minggu depan

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 14 Mac -Ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM3.93 hingga RM3.98 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan apabila pelabur terus memantau dengan teliti pergerakan harga minyak mentah global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur terus memantau pergerakan harga minyak mentah global.
  • Perang di Iran kekal menjadi fokus, laluan bekalan Asia Barat terdedah kepada risiko.
  • Sentimen pasaran dijangka berhati-hati, mendorong pengurangan pegangan aset pasaran pesat membangun.
  • Harga tenaga tinggi meningkatkan risiko inflasi global dan mengekalkan hasil bon pada paras lebih tinggi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peniaga dan pelabur akan terus memberikan tumpuan terhadap perang di Iran pada minggu hadapan.

Dalam masa sama, Kenanga Investment Bank Bhd turut menjangkakan sentimen pelabur kekal berhati-hati, sekali gus mendorong sebahagian pelabur mengurangkan pegangan dalam aset pasaran pesat membangun yang lebih sensitif terhadap turun naik pasaran.

Menurut bank pelaburan itu, walaupun Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada eksport gas asli cecair (LNG) yang lebih tinggi, ringgit dijangka kekal dalam julat terhad.

“Ringgit dijangka diniagakan secara mendatar dengan kecenderungan menyusut sekitar RM3.93 hingga RM3.95 berbanding dolar AS.

“Jangkaan asas kami adalah ketegangan geopolitik tidak akan reda dalam masa terdekat dan laluan bekalan utama di Asia Barat masih terdedah kepada risiko,” menurut nota penyelidikan tersebut.

Tambahnya, harga tenaga yang kekal tinggi dijangka meningkatkan risiko inflasi global serta mengekalkan hasil bon pada paras lebih tinggi.

Keadaan itu boleh menyebabkan persekitaran kewangan global menjadi lebih ketat dan sekali gus mengurangkan kemungkinan Federal Reserve melonggarkan dasar monetari dalam tempoh terdekat.

Bagi perbandingan mingguan, ringgit mengakhiri dagangan minggu ini lebih tinggi berbanding dolar AS apabila ditutup pada 3.9365/9410 berbanding 3.9425/9535 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama sepanjang minggu ini.