
KOTA BHARU, 3 Oktober – Dua wanita positif dadah selepas ditahan bersama seorang lelaki ketika dipercayai masuk ke Malaysia melalui laluan secara haram dari Thailand di Pengkalan Kubor, Kelantan, malam tadi.
- Saringan air kencing: kedua-dua wanita positif syabu; lelaki negatif.
- Suspek: seorang lelaki 32 tahun dan dua wanita warga tempatan berusia 20 dan 18 tahun.
- Wanita mengaku ambil dadah; kes diserahkan ke BSJN IPD Pasir Mas untuk siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, berkata ketiga-tiga mereka ditahan kira-kira pukul 7.30 malam ketika menaiki perahu dari arah Thailand menuju ke tebing sungai di Pengkalan Haram Abe Yie.
“Mereka ialah seorang lelaki berusia 32 tahun serta dua wanita warga tempatan masing-masing berusia 20 dan 18 tahun
“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua wanita berkenaan positif dadah jenis syabu manakala lelaki terbabit negatif dadah,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, hasil soal siasat awal mendapati lelaki berkenaan memasuki Thailand untuk bertemu rakannya, manakala kedua-dua wanita terbabit ke Golok untuk mengunjungi pusat hiburan.

Menurutnya, kedua-dua wanita itu turut mengaku mengambil dadah ketika berada di pusat hiburan berkenaan.
Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.