Sime Darby Property sasar jualan RM4 billion tahun ini

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican

KUALA LUMPUR, 27 Februari – Sime Darby Property menetapkan sasaran jualan sebanyak RM4 bilion tahun ini, dengan perancangan kira-kira RM4.7 billion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) merangkumi pasaran tempatan dan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran jualan RM4 bilion tahun ini disokong oleh nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM4.7 bilion.
  • 56% jualan dijangka dari pembangunan bersepadu, 26% tempatan dan 18% pasaran antarabangsa.
  • Syarikat catat jualan rekod RM4.2 bilion dan PBT RM803.4 juta bagi TK2025.
  • Fokus pada kawalan margin keuntungan berikutan turun naik kos bahan mentah dan ketidaktentuan global.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, sasaran itu akan disokong oleh prestasi kewangan kukuh kumpulan serta pelaksanaan projek yang berterusan.

“Sebanyak 56 peratus jualan dijangka datang daripada pembangunan bersepadu, 26 peratus daripada pembangunan tempatan dan 18 peratus daripada pasaran antarabangsa.

“Saya tidak fikir sasaran ini bersifat statik kerana kami sebelum ini telah mengatasi sasaran tahunan. Tahun lalu, kami menganggarkan RM3.6 bilion, namun berjaya mencapai RM4.2 bilion.

“Anda juga boleh lihat sasaran pelancaran tahun ini adalah lebih tinggi, justeru kami berharap dapat mengambil pendekatan yang lebih agresif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media prestasi tahun kewangan 2025 (TK2025) yang berakhir pada 31 Disember secara maya hari ini.

Mengulas mengenai pengukuhan ringgit, beliau berkata keadaan itu membolehkan syarikat memperoleh bahan mentah import pada harga yang lebih baik, sekali gus memberi kesan positif terhadap kos.

Bagaimanapun, katanya, Sime Darby Property akan terus memberi tumpuan kepada pengawalan margin keuntungan susulan turun naik harga bahan mentah serta faktor kos lain yang memberi kesan bercampur kepada prestasi syarikat sepanjang tahun.

“Namun pada masa sama, kami mengambil pendekatan berhati-hati berikutan ketidaktentuan persekitaran global, termasuk kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik di Timur Tengah.”

“Kami menjangkakan tekanan kos berterusan pada 2026, khususnya melibatkan kos pengangkutan serta kos import bahan mentah yang berubah-ubah.” katanya lagi.

Sime Darby Property merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM803.4 juta dengan jualan rekod RM4.2 bilion bagi TK2025 berakhir 31 Disember 2025.

Prestasi jualan tertinggi syarikat tahun lalu melepasi sasaran awal sebanyak RM3.6 bilion, iaitu peningkatan 17 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.