Banjir Nepal: PM cadang mekanisme rasmi bantu keluarga 55 mangsa hilang

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya satu mekanisme rasmi diwujudkan sekiranya 55 rakyat Malaysia yang hilang susulan bencana banjir di Nepal bulan lalu masih tidak dapat ditemukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri akan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri Nepal untuk memperincikan cadangan mekanisme bantuan keluarga.
  • PM Shah memberi jaminan usaha pencarian akan diteruskan meskipun keadaan di lapangan semakin mencabar.
  • Kedua-dua pemimpin berbincang pengambilan pekerja Nepal bagi mengelakkan eksploitasi dan caj tidak munasabah; Menteri Sumber Manusia akan mengadakan perbincangan.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, mekanisme itu penting bagi memudahkan keluarga mangsa menguruskan hal berkaitan perundangan, kewangan dan pentadbiran sekiranya usaha pencarian tidak berhasil.

Perkara itu dibincangkan oleh Datuk Seri Anwar bersama rakan sejawatannya dari Nepal, Balendra Shah menerusi perbualan telefon sebelum beliau berlepas ke China, pagi tadi.

“Saya akan mengutus surat rasmi kepada PM Shah bagi memperincikan cadangan ini.

“PM Shah memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya, meskipun keadaan di lapangan semakin mencabar.

“Saya berharap segala ikhtiar yang digerakkan akan membuahkan hasil dan memberikan kepastian yang amat dinantikan, terutama buat keluarga kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan,” katanya.

Dalam perbualan berkenaan, Datuk Seri Anwar menyampaikan rasa simpati dan dukacita kepada kerajaan serta rakyat Nepal susulan bencana yang melanda negara itu bulan lalu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nepal, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat atas segala usaha mencari mangsa, termasuk rakyat Malaysia yang masih hilang.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu pengambilan pekerja Nepal ke Malaysia, khususnya berkaitan peranan ejen serta keperluan memastikan proses berkenaan bebas daripada eksploitasi dan pengenaan bayaran tidak munasabah.

Rentetan itu, Menteri Sumber Manusia dari kedua-dua negara akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu pengambilan pekerja melibatkan kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.