Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026: Malaysia raih emas pertama

FB MSN

NAGOYA, 22 September – Penampilan sulung atlet karate wanita negara Adeola Fay Robert di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 ternyata membuahkan hasil apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya itu di Gimnasium Toyohashi, pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Adeola Fay Robert menewaskan wakil Iran Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 dalam final kumite bawah 55 kg.
  • Beliau menewaskan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada aksi separuh akhir.
  • Sebelum itu beliau menang 9-1 ke atas Asrar Jasem (Kuwait) dan 8-7 menentang Sevinch Rakhimova.
  • Kejayaan meneruskan momentum selepas pingat gangsa Sukan SEA Thailand 2025 dan tamatkan penantian emas wanita karate Sukan Asia sejak 2014.

Atlet berusia 20 tahun dari Sabah itu menampilkan aksi tenang dan bertenaga untuk menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 pada final acara kumite bawah 55 kilogram (kg), sekali gus melakar kejayaan bermakna dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia.

Adeola terlebih dahulu menempah tiket ke final selepas menewaskan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada aksi separuh akhir.

Sebelum itu, beliau mencatat kemenangan 9-1 ke atas Asrar Jasem dari Kuwait dan 8-7 terhadap Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan pada pusingan terdahulu.

Kejayaan itu meneruskan momentum positif atlet berkenaan selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025.

Pingat emas berkenaan turut menamatkan penantian karate wanita Malaysia untuk meraih emas Sukan Asia sejak Syakilla Salni melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.