
WASHINGTON, 10 November – Lembaga Keamanan (Board of Peace) pada Isnin memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza susulan banjir sejak dua hari lepas yang menenggelamkan puluhan ribu khemah dan tempat perlindungan sementara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
- Keperluan segera bekalan asas: tempat perlindungan, sanitasi, sistem saliran dan keperluan musim sejuk untuk melindungi nyawa awam.
- Desakan kepada Israel agar membenarkan kemasukan bahan penting dan memenuhi komitmen di bawah Protokol Kemanusiaan Sharm El-Sheikh.
- Gesaan kepada Hamas, PBB dan penderma antarabangsa selaraskan bantuan; kelewatan akan membawa kesan serius dan menuntut tanggungjawab.
“Keadaan ini bukan lagi sekadar ancaman akibat musim sejuk yang semakin hampir, sebaliknya sudah menjadi kecemasan kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera.
“Kemasukan dan pengagihan segera bekalan penting termasuk bahan untuk tempat perlindungan, kemudahan sanitasi, sistem saliran serta keperluan menghadapi musim sejuk amat penting bagi melindungi nyawa orang awam,” menurut lembaga itu dalam satu kenyataan.
Lembaga itu memaklumkan bahawa pihaknya berulang kali memberi amaran mengenai risiko banjir dan keadaan tempat perlindungan yang semakin merosot, selain menggesa semua pihak menunaikan komitmen masing-masing di bawah Pelan Damai Komprehensif Presiden Donald Trump.
“Kami secara khusus menggesa kerajaan Israel membenarkan kemasukan bahan penting bagi pembinaan tempat perlindungan sementara, infrastruktur bekalan air dan sanitasi, pengurusan sisa, sistem saliran serta kumbahan, selain mematuhi komitmennya di bawah Protokol Kemanusiaan Sharm El-Sheikh,” menurut kenyataan itu.
“Kami menggesa kepimpinan kerajaan Israel ketika ini supaya segera membenarkan dan memudahkan kemasukan semua bekalan kemanusiaan serta keperluan menghadapi musim sejuk, selain melaksanakan sepenuhnya komitmen di bawah Pelan Damai Komprehensif Presiden.
“Kelewatan memberikan kelulusan dan melaksanakan komitmen yang dipersetujui di Sharm El-Sheikh telah memburukkan lagi kesan kemanusiaan, selain melambatkan permulaan proses pelucutan senjata serta pemindahan kuasa daripada Hamas kepada Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG),” menurut lembaga itu.
Lembaga Keamanan turut menggesa Hamas menunaikan komitmennya di bawah pelan damai berkenaan, termasuk meletakkan senjata dan menyerahkan kuasa pentadbiran kepada NCAG.
Selain itu, lembaga itu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agensi berkaitan serta penderma antarabangsa supaya segera menyelaras usaha dengan pihaknya bagi menggerakkan sumber, bekalan dan sokongan operasi yang diperlukan untuk memenuhi keperluan mendesak penduduk Gaza menghadapi musim sejuk.
Lembaga itu memberi amaran bahawa sebarang kelewatan lanjut dalam pelaksanaan komitmen di bawah pelan damai berkenaan akan membawa kesan serius terhadap penduduk awam Gaza serta usaha mencapai keamanan berkekalan.
Sehubungan itu, lembaga berkenaan menegaskan bahawa semua komitmen mesti diterjemahkan kepada “tindakan segera yang boleh diukur”.
Lembaga itu turut memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab masing-masing perlu bertanggungjawab secara langsung terhadap akibatnya. – BERNAMA-ANADOLU