LTdL 2026: Beberapa laluan di Kuala kangsar ditutup

Foto Fail BERNAMA

IPOH, 22 September – Beberapa laluan di sekitar daerah Kuala Kangsar akan ditutup sementara dan dilencongkan secara berperingkat bagi memberi laluan kepada penamat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 pada 29 Sept ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jalan tertentu ditutup 8 pagi hingga 6 petang, termasuk sekitar Pavilion/Dewan Jubli, persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan MCKK dan lampu isyarat KTM.
  • Sesi lencongan 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang; kenderaan dari Taiping, Gerik dan Plaza Tol Kuala Kangsar dilencongkan melalui Jalan Sultan Nazrin Shah dan Jalan Daeng Selili.
  • Tapisan kenderaan di lampu isyarat hospital; hanya kenderaan ke hospital dibenarkan, manakala pengguna lain dinasihat merancang laluan alternatif.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata jalan yang ditutup bermula 8 pagi hingga 6 petang itu ialah jalan sekitar Pavilion/Dewan Jubli Kuala Kangsar, persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan MCKK, persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Bendahara dan Jalan Tun Razak  bermula Dataran Pavilion hingga lampu isyarat Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Beliau berkata beberapa jalan lagi akan turut ditutup dan dilencongkan bermula 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang.

“Antaranya kenderaan dari arah Taiping, Gerik dan Plaza Tol Kuala Kangsar ke Sungai Siput akan dilencongkan ke Jalan Sultan Nazrin Shah (Bulatan Jam), Jalan Daeng Selili, lampu isyarat Penaga, Jambatan Sayong dan Jalan Kota Lama Kanan.

“Kenderaan dari Sungai Siput Ke Taiping, Gerik dan Plaza Tol Kuala Kangsar akan dilencongkan ke persimpangan Jalan Keledang Sayong/Tanjung Belanja, Jalan Kota Lama Kanan, Jambatan Sayong, lampu isyarat Penaga, Jalan Daeng Selili, Bulatan Jam Dan Jalan Sultan Nazrin Shah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, kenderaan dari Plaza Tol Kuala Kangsar dan Taiping menghala ke Gerik akan dihentikan seketika di lampu isyarat Chuar, Kati bagi memberi laluan kepada pelumba LTdL yang datang dari arah Gerik.

Selain itu, Jalan Jamuan-Kati (persimpangan Stesen JPJ hingga Pekan Kati, Jalan Lama Pekan Kati, persimpangan Pekan Kati hingga lampu isyarat Chuar, jalan dari lampu isyarat Hospital Kuala Kangsar ke lampu isyarat KTM) akan ditutup dan dilencongkan semasa perlumbaan berlangsung.

Menurutnya, tapisan kenderaan akan dibuat di persimpangan lampu isyarat di hospital dan hanya kenderaan yang hendak ke hospital sahaja dibenarkan menggunakan laluan tersebut manakala kenderaan yang menghala ke Sungai Siput akan dilencongkan terus ke Bulatan Jam.

“Sehubungan dengan itu, pengguna jalan raya khususnya warga Kuala Kangsar dinasihatkan agar merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan,” katanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.