
KUALA LUMPUR, 22 September – Akses kepada pembiayaan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta proses pengesahan kerja akan diperkukuh sebagai sebahagian daripada agenda reformasi persekitaran perniagaan yang berterusan.
- Mempercepat pembayaran, menilai kredit alternatif, pembiayaan berasaskan kontrak/invois serta peluasan jaminan SJPP dan penambahbaikan tadbir urus pembayaran.
- Memperkukuh ekosistem peraturan Gudang Pengilangan Berlesen untuk sokong aktiviti R&D dan mewujudkan kerangka model R&D yang lebih khusus.
- PEMUDAH kekal platform kerjasama kerajaan-swasta untuk atasi kekangan pelaksanaan, tingkatkan produktiviti PMKS serta sokong inovasi dan R&D.
Kementerian Ekonomi dalam kenyataannya memaklumkan, usaha mempercepat pembayaran bagi perkhidmatan yang telah dilaksanakan turut diberi perhatian, termasuk melalui penilaian kredit alternatif, pembiayaan berasaskan kontrak dan invois, peluasan jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) serta penambahbaikan tatakelola pembayaran.
Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) Bilangan 4 Tahun 2026 di Putrajaya, hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Ameer Ali Mydin.
Menurut Kementerian Ekonomi, langkah penambahbaikan itu penting memandangkan PMKS merangkumi 96.2 peratus atau 1.29 juta pertubuhan perniagaan serta menyumbang 39.7 peratus atau RM689.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.
“Mesyuarat turut memberi pertimbangan kepada usaha memperkukuh ekosistem peraturan Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) bagi menyokong aktiviti R&D industri.
“Ia termasuk cadangan mewujudkan kerangka model R&D yang lebih khusus dan responsif kepada keperluan sektor,” menurut kenyataan itu sambil menambah, Kumpulan Kerja Teknikal Perdagangan Antarabangsa bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) turut dicadangkan untuk menerajui inisiatif berkenaan.
Hasil libat urus dan cadangan kerangka baharu itu akan dikemukakan kepada PEMUDAH dalam tempoh dua bulan.
Dalam mesyuarat sama, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut membentangkan prestasi pertumbuhan ekonomi negara bagi separuh pertama 2026, termasuk sejauh mana pertumbuhan itu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
Kementerian Ekonomi memaklumkan, PEMUDAH akan terus menjadi platform kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta dalam menangani kekangan pelaksanaan serta memperhalusi penyelesaian praktikal bagi memudah cara urusan perniagaan, meningkatkan produktiviti PMKS dan menyokong inovasi serta aktiviti R&D.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan reformasi persekitaran perniagaan menghasilkan proses yang lebih cekap, kos pematuhan yang lebih munasabah serta ekosistem yang lebih kondusif kepada pertumbuhan dan inovasi,” menurut kenyataan itu.