Belanjawan 2027: MOSTI harap dana sains, teknologi ditambah

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 September – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap Belanjawan 2027 menyediakan peruntukan lebih besar bagi memperkukuh ekosistem sains dan teknologi, khususnya mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran Persidangan Inovasi Asia-Pasifik ke-16 (APIC 2026) di Universiti Malaya sebagai platform perbincangan dan kerjasama.
  • Pengkomersialan R&D memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, akademia dan industri untuk bawa produk ke pasaran.
  • MOSTI menyokong projek pada tahap kesediaan teknologi TRL 4 hingga TRL 7 melalui Dana Pemacu 2.0.
  • Inisiatif MySTI memberi pengiktirafan produk tempatan dan keutamaan dalam proses perolehan kerajaan untuk perkasakan pasaran.

Menterinya, Datuk Chang Lih Kang berkata, tambahan dana diperlukan bagi membantu produk R&D sedia ada beralih daripada peringkat penyelidikan kepada penggunaan dan pasaran.

“Kita harap boleh dapat lebih banyak bajet untuk membantu membangunkan ekosistem sains dan teknologi, terutamanya dalam mengkomersialkan produk R&D yang sedia ada supaya dapat masuk ke pasaran. Saya rasa itu adalah satu bidang yang memerlukan banyak dana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Persidangan Inovasi Asia-Pasifik ke-16 (APIC 2026) di Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, pengkomersialan R&D memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, akademia dan industri, dengan MOSTI menyediakan sokongan menerusi Dana Pemacu 2.0 bagi projek pada tahap kesediaan teknologi (TRL) 4 hingga TRL 7.

Katanya, inisiatif itu bertujuan mempercepat produk R&D menembusi pasaran tempatan dan global, selain inisiatif MySTI yang memberi pengiktirafan kepada produk tempatan serta keutamaan dalam proses perolehan kerajaan.

Dalam pada itu, Datuk Chang menggalakkan lebih banyak kerjasama antara universiti dan industri, termasuk penglibatan sektor industri dalam membiayai projek R&D yang menghasilkan penyelesaian berdasarkan keperluan sebenar industri.

Beliau berkata pendekatan berkenaan penting bagi melengkapi sokongan kerajaan menerusi pembiayaan dan kepakaran industri, sekali gus mempercepat proses pengkomersialan hasil R&D tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.