Eksport sawit Malaysia diunjur kekal stabil 16 juta tan pada 2027

Foto Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC)

KUALA LUMPUR, 22 September – Eksport minyak sawit Malaysia diunjur kekal stabil sekitar 16 juta tan pada 2027, seiring kedudukan negara yang semakin penting sebagai pembekal minyak sawit global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengeluaran Indonesia dijangka merosot 1.9 juta tan; Malaysia diunjur berkurang 0.7 juta tan, menurut Oil World.
  • Eksport Indonesia dijangka susut hampir tiga juta tan akibat permintaan domestik kukuh susulan peningkatan campuran biodiesel dan prospek pengeluaran lemah.
  • Pengeluaran domestik Malaysia naik 1.4% kepada 1.81 juta tan pada Ogos 2026, disokong kutipan FFB dan kadar perahan lebih baik.
  • Eksport lapan bulan pertama meningkat 806,000 tan kepada 10.4 juta; eksport 2026 diunjur 16.0 juta, 5.2% lebih tinggi berbanding 2025.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam kenyataan memaklumkan, pengeluaran minyak sawit Indonesia dijangka merosot sebanyak 1.9 juta tan pada 2027, manakala pengeluaran Malaysia diunjur berkurangan 0.7 juta tan, menurut analisis dan unjuran pasaran global bebas oleh Oil World.

“Di samping itu, eksport Indonesia juga diunjur susut hampir tiga juta tan tahun hadapan, mencerminkan permintaan domestik yang lebih kukuh susulan peningkatan campuran biodiesel serta prospek pengeluaran yang lebih lemah.

“Oleh itu, Malaysia dijangka menjadi sumber minyak sawit yang semakin penting kepada pengguna global, manakala paras stok semasa yang tinggi di negara ini berkemungkinan hanya bersifat sementara,” jelas MPOC.

Tambahnya, pengeluaran minyak sawit domestik menokok 1.4 peratus kepada 1.81 juta tan pada Ogos 2026, disokong peningkatan kutipan tandan buah segar serta kadar perahan minyak yang lebih baik berbanding bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, pengeluaran masih di bawah paras yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus mencatat penurunan tahun ke tahun untuk bulan keenam berturut-turut sejak Mac 2026.

Sementara itu, eksport minyak sawit bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini meningkat 806,000 tan kepada 10.4 juta tan.

“Eksport menyusut 7.5 peratus bulan ke bulan pada Ogos kepada 1.29 juta tan, disebabkan penghantaran yang lebih rendah ke Asia Selatan dan Asia Barat.

“Walaupun prestasi bulanan merosot, eksport bagi keseluruhan 2026 diunjurkan mencapai 16.0 juta tan, iaitu 5.2 peratus lebih tinggi berbanding jumlah yang dicatatkan pada 2025,” tambah kenyataan itu.

Mengenai prospek, MPOC berkata harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melebihi RM4,700 satu tan pada Oktober dan berkemungkinan berterusan sepanjang baki tahun ini, disokong ketidaktentuan cuaca serta pasaran tenaga yang memberangsangkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.