Anggaran pertumbuhan KDNK 5.3 peratus kekal lepasi trend jangka panjang

Peranan PETRONAS mendapatkan bekalan daripada sumber alternatif membantu memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi negara

BANGI, 23 Oktober – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) yang diunjur berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2026 kekal positif, walaupun lebih rendah berbanding enam peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan masih melebihi paras trend jangka panjang dianggarkan sekitar 4.7 peratus.
  • Kadar pertumbuhan lebih perlahan berbanding suku sebelumnya namun masih dianggap perkembangan ekonomi yang positif.
  • DOSM melaporkan prestasi positif merentas semua sektor kecuali perlombongan dan pengkuarian yang menyusut.
  • Peranan PETRONAS mendapatkan bekalan alternatif membantu memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi dan mengurangkan risiko gangguan bekalan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, kadar pertumbuhan itu masih melebihi paras pertumbuhan trend ekonomi negara yang dianggarkan sekitar 4.7 peratus.

“Jika dibandingkan dengan pertumbuhan enam peratus pada suku kedua, kadar 5.3 peratus menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan.

“Bagaimanapun, kadar itu masih dianggap baik memandangkan trend pertumbuhan jangka panjang ekonomi Malaysia dianggarkan sekitar 4.7 peratus.

“Oleh itu, pertumbuhan yang melebihi paras berkenaan masih mencerminkan perkembangan ekonomi yang positif,”katanya selepas Bicara Persada Belanjawan 2027, bertemakan Menjaga Poket Rakyat, Mengukuh Kantung Negara.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganggarkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini, didorong prestasi positif merentas kesemua sektor ekonomi, kecuali perlombongan dan pengkuarian yang merekodkan penguncupan.

Dalam pada itu, mengulas kesan ketidaktentuan bekalan minyak terhadap pertumbuhan ekonomi negara, beliau berkata peranan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam mendapatkan bekalan daripada sumber alternatif membantu memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi negara.

“Malaysia bergantung pada Selat Hormuz bagi kira-kira 30 peratus keperluan minyaknya. Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah lama bertapak dalam sektor minyak dan gas, PETRONAS berjaya mendapatkan sumber minyak dari negara lain, termasuk di Afrika Selatan dan Amerika Latin,

“Setakat ini, kita tidak melihat gangguan bekalan bahan api seperti yang berlaku di Indonesia baru-baru ini, termasuk di Bali.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya usaha memastikan bekalan minyak negara kekal mencukupi bagi menyokong aktiviti ekonomi,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.