
KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Lima negeri mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh melebihi kadar nasional pada 4.0 peratus dengan RM104,556 per penduduk bekerja.
- Johor merekodkan pertumbuhan produktiviti tertinggi 6.6%; diikuti Selangor 5.3%, Sabah 5.0%, Pulau Pinang 5.0% dan Perak 4.3%.
- Nilai ditambah setiap penduduk bekerja meningkat di negeri terpilih: Pulau Pinang RM112,219; Selangor RM110,015; Perak RM92,421; Johor RM86,568; Sabah RM65,967.
- Mengikut sektor, pembinaan catat pertumbuhan tertinggi 11.4%; pembuatan, perkhidmatan dan pertanian turut meningkat; perlombongan susut 0.1%.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Johor mendahului dengan merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.6 peratus, diikuti Selangor (5.3 peratus), Sabah (5.0 peratus), Pulau Pinang
(5.0 peratus) serta Perak (4.3 peratus).
DOSM berkata, produktiviti buruh Malaysia meningkat kepada 4.0 peratus pada tahun 2025 berbanding 3.7 peratus pada 2024.
Bagi tempoh sama, nilai ditambah bagi setiap penduduk bekerja mencecah RM104,556 seorang, selaras dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 5.2 peratus untuk 2025.
”Johor merekodkan nilai ditambah bagi setiap penduduk bekerja RM86,568 seorang pada tahun 2025 berbanding RM81,214 pada tahun sebelumnya.
”Nilai ditambah setiap penduduk bekerja di Selangor meningkat kepada RM110,015 seorang daripada RM104,510, manakala Sabah merekodkan RM65,967seorang berbanding RM62,809 pada tahun sebelumnya,” jelas DOSM dalam penerbitan Produktiviti Buruh Mengikut Negeri, 2025 pada Khamis.
Dalam pada itu, Pulau Pinang mencatatkan RM112,219 seorang, meningkat daripada RM106,852 pada tahun 2024, manakala Perak turut merekodkan peningkatan kepada RM92,421 seorang berbanding RM88,634 pada tahun sebelumnya.
Jelas DOSM, pencapaian ini mencerminkan corak pertumbuhan produktiviti yang berbeza antara negeri, dengan prestasi keseluruhan disokong oleh kombinasi sumbangan sektor ekonomi yang pelbagai.
Sementara itu, di peringkat sektor, pembinaan mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh tertinggi pada tahun 2025, iaitu 11.4 peratus.
Prestasi ini diikuti oleh pembuatan sebanyak (4.0 peratus), perkhidmatan (3.8 peratus) dan pertanian (2.3 peratus).
Perlombongan dan pengkuarian, sebaliknya merekodkan penyusutan kecil sebanyak 0.1 peratus, berbanding pertumbuhan 1.0 peratus pada tahun 2024.