Industri besi, keluli teroka segmen bernilai tinggi

Pengeluar besi dan keluli yang berhasrat melabur dalam pengeluaran produk lebih kompleks berpeluang menerima insentif tambahan

KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Industri besi dan keluli Malaysia perlu memperluas penglibatan dalam segmen bernilai tinggi, selain memenuhi permintaan tradisional daripada projek infrastruktur mega khususnya sektor pembinaan juga perumahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sektor MRO aeroangkasa menawarkan komponen dan alat ganti berasaskan keluli dengan margin tinggi walaupun volum rendah.
  • Pusat data sebagai hab utama menimbulkan permintaan untuk rak pelayan, kabel berteknologi tinggi dan wire harness.
  • Sektor automotif berpotensi untuk keluli gred automotif yang memerlukan piawaian keselamatan lebih tinggi tetapi terjejas persaingan harga import.
  • Kerajaan merangka Mekanisme Insentif Baharu untuk sokongan, dengan syarat penyetempatan mendalam bagi duti eksais lebih rendah.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata peralihan itu penting bagi membuka peluang pertumbuhan baharu kepada pengeluar tempatan, khususnya ketika industri berdepan lambakan produk import dan persaingan harga yang kompetitif.

“Di Malaysia, kita mempunyai Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) untuk aeroangkasa, dengan memerlukan komponen dan alat ganti yang mungkin berasaskan keluli serta mempunyai peluang dalam bentuk margin yang tinggi mungkin volumnya rendah, tetapi marginnya tinggi.

“Satu lagi sektor yang sangat besar ialah pusat data dengan Malaysia merupakan hab utama di Asia.

“Justeru, kita mempunyai banyak peluang dari segi pelayan rak (server racks) , kabel teknologi tinggi, wire harness, dan macam-macam lagi.

“Ini adalah perkara yang saya rasa industri boleh tingkatkan,” katanya selepas merasmikan Laporan ke-16 Status dan Prospek Industri Besi dan Keluli Malaysia 2027, di sini hari ini.

Tambah beliau, sektor automotif juga mempunyai potensi besar, terutamanya dalam pengeluaran keluli gred automotif yang memerlukan piawaian lebih tinggi bagi memenuhi keperluan keselamatan kenderaan.

Bagaimanapun, pelaburan dalam segmen berkenaan masih berdepan cabaran berikutan persaingan harga daripada produk import, sekali gus mengehadkan kesediaan industri untuk memperluas pengeluaran keluli gred automotif tempatan.

“Oleh sebab itu, kerajaan sedang merangka Mekanisme Insentif Baharu (NCM) yang bakal dilaksanakan tahun depan.

“Bagi industri automotif, kami menetapkan syarat kepada pembuat kereta, jika mereka mahu menikmati duti eksais yang lebih rendah, mereka perlu benar-benar melakukan penyetempatan secara mendalam,” katanya lagi.

Mengulas mengenai sokongan kerajaan, beliau berkata, pengeluar besi dan keluli yang berhasrat melabur dalam pengeluaran produk lebih kompleks berpeluang menerima insentif tambahan.

“Matlamat kerajaan adalah untuk membantu industri tempatan berkembang, berinovasi juga meningkatkan keupayaan menghasilkan produk yang lebih kompleks bertujuan memenuhi permintaan pasaran berteknologi tinggi,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.