Tekanan harga dipacu faktor penawaran bukan permintaan

Tekanan inflasi di peringkat awal rantaian pengeluaran masih ketara

KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Tekanan kos pengeluaran yang berterusan berpotensi mendorong pengeluar menaikkan harga jualan bagi menampung perbelanjaan operasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekanan inflasi di peringkat awal rantaian pengeluaran masih ketara, dipacu kenaikan harga sektor perlombongan dan petroleum akibat gangguan bekalan.
  • Indeks Harga Pengeluar menunjukkan peningkatan pesat, mencerminkan tekanan kos berterusan di sepanjang rantaian pengeluaran.
  • Tekanan harga ketika ini banyak dipacu faktor penawaran bukan permintaan; sektor pertanian dan utiliti menunjukkan penyederhanaan.
  • Perkembangan harga minyak mentah global, keadaan rantaian bekalan dan risiko geopolitik Asia Barat terus mempengaruhi kos pengeluaran negara.

MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) memaklumkan, keadaan itu sekali gus meningkatkan risiko tekanan harga merebak terhadap barangan pengguna terpilih dalam tempoh akan datang.

Menurut bank pelaburan itu, tekanan inflasi di peringkat awal rantaian pengeluaran masih ketara, didorong kenaikan harga dalam sektor perlombongan dan petroleum susulan gangguan bekalan yang berkaitan dengan konflik berterusan di Asia Barat.

”Kenaikan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia sebanyak 12 peratus pada September merupakan peningkatan terpantas sejak November 2021, menunjukkan tekanan kos masih meningkat di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.

”IHPR turut meningkat 1.6 peratus pada asas bulanan pada September berbanding kenaikan satu peratus pada Ogos, mencerminkan momentum kenaikan harga yang semakin ketara di sepanjang rantaian pengeluaran,” jelas MBSB IB dalam nota penyelidikannya.

Tekanan harga ketika ini, bagaimanapun masih banyak dipacu faktor penawaran dan bukannya permintaan, dengan pertumbuhan harga dalam sektor pertanian dan utiliti menunjukkan penyederhanaan.

Jelas MBSB IB, perkembangan harga minyak mentah global, keadaan rantaian bekalan serta risiko geopolitik di Asia Barat akan terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi kos pengeluaran negara.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.