
KUALA LUMPUR, 22 September – Profesion perakaunan perlu bersedia menghadapi perubahan landskap perniagaan global dengan memperkukuh pengetahuan dalam bidang geopolitik, iklim dan kelestarian, kecerdasan buatan (AI) serta aspek kepercayaan.
- Pertimbangkan implikasi geopolitik: sumber pelaburan, perlindungan teknologi, harta intelek dan rantaian bekalan.
- Masukkan penilaian iklim dan kelestarian dalam keputusan perniagaan serta penilaian risiko operasi.
- Nilai semula amalan perniagaan, peraturan dan struktur organisasi untuk mengintegrasi AI, bukan sekadar menambah pada proses sedia ada.
- Kukuhkan kepercayaan melalui infrastruktur, data dan sistem kukuh, disokong kerjasama kerajaan, pengawal selia, perniagaan dan masyarakat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berpandangan, langkah berkenaan penting bagi memahami kesan perubahan global terhadap operasi perniagaan, termasuk aspek sumber pelaburan, teknologi, harta intelek dan rantaian bekalan.
Menurutnya, ia juga dapat membantu perniagaan membuat keputusan dengan lebih berkesan dalam persekitaran global yang semakin kompleks.
“Jika anda menguruskan sebuah syarikat, anda perlu memikirkan dari mana sumber pelaburan datang, sama ada dari China, United Kingdom atau negara lain.
“Anda juga perlu memikirkan bagaimana untuk mewujudkan satu bentuk perlindungan antara sumber-sumber tersebut, bagaimana memastikan sumber teknologi tidak terjejas serta bagaimana melindungi harta intelek,”katanya dalam ucapan pada Forum Pertukaran Kepimpinan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) 2026.
Tambah beliau, golongan akauntan juga perlu mengambil kira aspek iklim dan kelestarian dalam membuat penilaian serta keputusan berkaitan aktiviti perniagaan.
Mengulas mengenai perkembangan teknologi AI, katanya setiap organisasi perakaunan juga perlu menilai semula amalan perniagaan, peraturan dan struktur operasi bagi memanfaatkan teknologi berkenaan secara optimum.
“Kita perlu kembali melihat amalan perniagaan, peraturan dan cara kita mengatur organisasi untuk memikirkan serta membangunkan satu sistem baharu.
“Bukannya kita menganggap struktur fizikal dan susunan sedia ada tidak berubah, kemudian hanya mengaplikasikan AI kepada apa yang sedang kita lakukan sekarang,” katanya lagi.
Dalam masa sama, aspek kepercayaan turut penting dalam membina sistem kewangan yang diyakini semua pihak, dengan sokongan infrastruktur, data, maklumat dan sistem yang kukuh.
“Dalam menghadapi perubahan global, kerajaan, pengawal selia, perniagaan dan masyarakat perlu melihat antara satu sama lain sebagai rakan kongsi bagi membina daya tahan keseluruhan sistem,” jelasnya.