
KUALA LUMPUR, 22 September – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang meneliti cadangan penubuhan pasukan petugas melibatkan pelbagai pihak berkepentingan merangkumi pengawal selia dan badan profesional.
- Membangunkan rangka kerja kompetensi seragam bagi setiausaha syarikat, sejajar dengan peranan mereka yang semakin berkembang dalam syarikat tersenarai.
- Perlu memperkukuh kompetensi, keupayaan dan profesionalisme setiausaha syarikat kerana amalan tahap kompetensi tidak konsisten.
- MCCG 2026 menekankan tadbir urus yang menyumbang kepada penciptaan nilai, mengekalkan akauntabiliti, integriti, ketelusan dan pengawasan berkesan.
Pengerusinya, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pasukan petugas itu, bertanggungjawab membangunkan rangka kerja kompetensi yang seragam dan selaras dengan peranan setiausaha syarikat yang semakin berkembang dalam syarikat tersenarai di Malaysia.
“SC turut bekerjasama dengan Bursa Malaysia dalam membangunkan rangka kerja kawal selia bagi setiausaha syarikat-syarikat tersenarai untuk menangani aspek kesesuaian dan kelayakan serta akauntabiliti masing-masing.
“Selaras dengan jangkaan kepada lembaga pengarah semakin meningkat, peranan golongan profesional dalam bidang tadbir urus juga perlu berkembang.
”Oleh itu, maklum balas yang kami peroleh bukan sesuatu yang mengejutkan. Ia menunjukkan keperluan untuk memperkukuh lagi kompetensi, keupayaan, dan profesionalisme setiausaha syarikat.
“Walaupun peranan ini tertakluk kepada peraturan, tahap kompetensi yang diharapkan tidak diamalkan secara konsisten,” katanya dalam ucaptama pada Chartered Governance Institute (CGI) Global Governance Summit 2026.
Mengulas lanjut, langkah itu, katanya susulan maklum balas yang diterima dalam sesi rundingan mengenai Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) 2026 yang akan diterbitkan tahun ini.
“Peranan setiausaha syarikat kini meliputi pelbagai aspek, bukan sekadar memastikan pematuhan undang-undang dan mengurus rekod syarikat.
“Malah, kumpulan itu juga bertindak sebagai penasihat yang dipercayai, memudah cara proses membuat keputusan lembaga pengarah yang berkesan serta menyediakan pandangan dalaman yang kritikal dan konstruktif,”katanya.
Mengulas mengenai MCCG 2026, Datuk Mohammad Faiz berkata kod yang disemak itu akan memberi tumpuan untuk memastikan tadbir urus korporat menyumbang kepada penciptaan nilai dan bukan sekadar dianggap sebagai proses pematuhan.
”MCCG 2026 yang akan datang akan mengekalkan prinsip teras akauntabiliti, integriti, ketelusan dan pengawasan yang berkesan, selain menggalakkan lembaga pengarah serta organisasi supaya lebih berpandangan jauh dalam menangani isu yang mempengaruhi penciptaan nilai jangka panjang.
”Tadbir urus yang baik menjadi asas kepada pembuatan keputusan yang lebih baik, kepercayaan dan daya tahan, khususnya ketika syarikat berdepan perubahan teknologi, kecerdasan buatan, jangkaan berkaitan kemampanan yang semakin berkembang serta ketidaktentuan geopolitik,” katanya.