Lawatan ke China buahkan hasil bermakna demi manfaat rakyat kedua-dua negara – PM

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan kerja ke Shanghai dan Hangzhou baru-baru ini membuahkan hasil bermakna, khususnya dalam meneroka potensi pelaburan dan kerjasama perdagangan yang mampu membawa manfaat serta kemakmuran kepada Malaysia dan China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hubungan diplomatik kedua-dua negara kini berada pada tahap tertinggi dan harus dimanfaatkan untuk meneroka peluang kerjasama baharu.
  • Penyertaan Malaysia dalam WorldSkills dan Ekspo Perdagangan Digital Global mempamerkan keupayaan negara di pentas antarabangsa.
  • Malaysia menegaskan pembangunan kecerdasan buatan mesti berasaskan nilai kemanusiaan dan etika.
  • Komitmen diteruskan melalui Jelajah Diplomasi MADANI demi manfaat rakyat dan pertiwi.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi hantaran Facebook memaklumkan, hubungan diplomatik kedua-dua negara kini berada pada tahap tertinggi perlu dimanfaatkan untuk terus meneroka peluang serta merintis kerjasama baharu yang lebih gemilang.

“Penyertaan Malaysia dalam Pertandingan dan Sidang Kemuncak WorldSkills serta Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) telah memperlihatkan keupayaan negara di pentas antarabangsa.

“Saya juga telah menyampaikan pendirian tegas Malaysia bahawa dalam mengejar perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan teknologi, pasak keinsanan dan nilai tidak boleh diketepikan.

“Di tengah-tengah persaingan global yang mencetuskan ketidaktentuan, kita harus melangkah ke hadapan menerusi dialog dan kerjasama demi membina dunia yang lebih adil dan saksama,” menurut hantaran itu.

Perdana Menteri turut menyatakan komitmen untuk terus menggerakkan Jelajah Diplomasi MADANI demi rakyat dan pertiwi tercinta, Malaysia.

Datuk Seri Anwar mengadakan lawatan kerja tiga hari ke China bermula Selasa lepas atas undangan Perdana Menteri China Li Qiang, dengan dua agenda utama iaitu menghadiri WorldSkills Shanghai Competition di Shanghai serta GDTE di Hangzhou.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.