
PENDANG, 26 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak mencampuri urusan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan sebarang pertikaian mengenai institusi diraja itu diselesaikan mengikut perlembagaan serta undang-undang.
- Tindakan terhadap kedudukan raja mesti berlandaskan peruntukan Perlembagaan, tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.
- Perlu tentukan dulu mana yang sah dan tidak sah kerana terdapat dua perkara berkaitan undang-undang yang perlu diselesaikan.
- Menjatuhkan raja bukan mudah; selepas bertahun-tahun kekal, penggulingan tertakluk kepada undang-undang.
- Kerajaan menghormati adat dan sistem pemerintahan beraja Negeri Sembilan serta proses perlembagaan dan undang-undang.
Menurut Datuk Seri Anwar, dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, sebarang tindakan terhadap kedudukan seseorang raja tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu berlandaskan peruntukan perlembagaan.
“Saya kata, saya tidak campur. Apa yang saya campur? Saya cuma sebut mengenai undang-undang. Dalam hal ini, ada pihak yang memberikan pandangan dan ada yang menyokong.
“Tetapi soal mana yang sah dan mana yang tidak sah, itu perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana ada dua perkara berkaitan undang-undang.
“Sistem negara kita ialah Raja Berperlembagaan. Untuk menjatuhkan seseorang daripada kedudukan itu bukan sesuatu yang mudah kerana ada peruntukan dalam Perlembagaan.
“Tidak boleh sewenang-wenangnya, selepas seseorang menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan selama bertahun-tahun, tiba-tiba hendak menggulingkannya. Itu juga tertakluk kepada undang-undang. Saya kata, bincanglah dengan cara yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Institusi Pendidikan Pondok Mujamma’ Ibnu Sunni Al- Talaqqi (MUSHTAQ) di sini.
Datuk Seri Anwar sebelum ini turut menegaskan bahawa kerajaan tidak mencampuri urusan adat dan sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, sebaliknya menghormati proses ditetapkan perlembagaan, undang-undang serta amalan adat
negeri itu.