Harimau Malaya diingatkan tidak pandang mudah Bangladesh

Tan Cheng Hoe

JAKARTA, 25 September – Skuad Harimau Malaya diingatkan agar tidak memandang mudah keupayaan Bangladesh menjelang aksi pertembungan kedua-dua pasukan pada aksi pembukaan Piala ASEAN FIFA 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bangladesh miliki corak permainan agresif dan persefahaman mantap, diperkuat tonggak berpengalaman di bahagian tengah.
  • Tan Cheng Hoe tekankan perlu tingkatkan keserasian pemain susulan tempoh latihan singkat.
  • Kehadiran Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo diharap memperkasakan barisan kebangsaan.
  • Skuad perlu lupakan episod lalu, fokus ke hadapan untuk memulihkan imej dan reputasi antarabangsa.

Pengendali interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, barisan pemain Bangladesh memiliki corak permainan yang agresif serta persefahaman mantap, selain diperkuatkan dengan kehadiran tonggak berpengalaman di bahagian tengah.

“Kita tidak boleh anggap Bangladesh kali ini sebagai pasukan yang lemah untuk saingan kali ini. Mereka mempunyai persiapan yang cukup rapi dan sudah lama menjalani latihan bersama.

“Mereka turut dibarisi pemain berpengalaman seperti kapten pasukan, Jamal Bhuyan serta Hamza Choudhury. Kedua-dua pemain ini memperlihatkan kualiti dan pengalaman yang cukup baik di jentera tengah,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di sini.

Mengulas mengenai persiapan skuad negara, beliau mengakui fokus utama ketika ini adalah mempertingkatkan keserasian dan persefahaman antara pemain berikutan tempoh latihan yang singkat.

Beliau bagaimanapun gembira melihat keterujaan serta komitmen tinggi yang ditunjukkan barisan pemain, termasuk kehadiran Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo dalam memperkasakan skuad kebangsaan.

“Dengan tempoh persiapan sekitar dua ke tiga hari, kita masih perlu meningkatkan persefahaman antara pemain. Apa yang penting, kita perlu fokus kepada perlawanan kita sendiri dan tidak boleh menganggap tugasan ini mudah,” jelasnya.

Menyentuh mengenai cabaran sebelum ini, beliau menegaskan skuad negara perlu melupakan episod lalu dan terus memandang ke hadapan bagi memulihkan imej serta reputasi pasukan di pentas antarabangsa.

“Perkara yang lepas itu sudah menjadi sejarah. Kita perlu melangkah ke hadapan demi masa depan pasukan. Kehadiran pemain-pemain ini diharap mampu memberikan persembahan terbaik sekali gus memulihkan imej Harimau Malaya,” katanya lagi.

Malaysia dijadualkan beraksi menentang Bangladesh pada Sabtu di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.