Sukan Asia : Azeem kempunan pingat, berada di tempat ke-8

Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi menerima rawatan oleh pasukan perubatan selepas mengalami kecederaan ketika melakukan larian pada final acara 100 meter lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026/ BERNAMA

NAGOYA, 26 September – Hasrat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk mempertahankan pingat gangsa acara 100 meter (m) lelaki lebur selepas berdepan detik memilukan akibat kecederaan pada aksi final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Azeem menamatkan saingan di tempat kelapan dengan 14.65 saat, rebah selepas garisan, dan diberi rawatan perubatan.
  • Azeem menunjukkan semangat juang tinggi, meneruskan larian dalam keadaan terhencut-hencut sebelum rebah.
  • Puripol Boonson raih emas dengan 9.90 saat rekod baharu; Ali dan Malham Al Balushi kongsi perak dan gangsa dengan 10.04 saat.

Beraksi di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, pelari berusia 22 tahun itu terpaksa akur menamatkan saingan di tempat kelapan dengan catatan 14.65 saat.

Azeem bagaimanapun mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila nekad meneruskan larian dalam keadaan terhencut-hencut bagi menghabiskan perlumbaan, sebelum rebah di trek sebaik melepasi garisan penamat dan segera diberi rawatan oleh pasukan perubatan.

Insiden itu sekali gus menyaksikan Azeem gagal mengulangi pencapaian cemerlangnya pada edisi Sukan Asia Hangzhou 2022 yang menyaksikan beliau menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negara.

Dalam pada itu, status raja pecut Asia sah menjadi milik pelari sensasi Thailand, Puripol Boonson yang merangkul emas dengan catatan luar biasa iaitu 9.90 saat.

Masa tersebut sekali gus mencipta rekod baharu temasya, memadam rekod terdahulu iaitu 9.91 saat yang dilakarnya sendiri pada peringkat separuh akhir.

Pingat perak dan gangsa pula didominasi atlet Oman, masing-masing menerusi Ali Al Balushi dan Malham Al Balushi yang berkongsi catatan masa 10.04 saat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.